Connect with:




Persatuan sukan kebangsaan boleh menarik nafas lega sedikit apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail mengumumkan peruntukan kewangan buat persatuan sukan bakal dipertingkatkan setelah ekonomi negara kembali stabil.

Menurut Dr Wan Azizah, beliau sedia maklum dan peka akan rintihan persatuan sukan kebangsaan setelah peruntukan kewangan buat mereka terpaksa dipotong.

“Banyak pihak memaklumkan kepada saya bahawa persatuan kebangsaan menzahirkan rasa kurang senang sebaik saja mengetahui peruntukan buat pembangunan sukan masing-masing terpaksa dibatalkan atau dikaji semula.

“Kerajaan maklum akan hal ini, tetapi ini adalah hakikat kekangan kewangan negara buat masa ini. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan juga akan mengkaji semula dan menggalakkan penglibatan pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menyokong usaha pembangunan sukan negara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Tahunan dan malam Anugerah Olimpik Malaysia ke-25 di sebuah hotel di ibu negara malam tadi.

Beliau berkata penglibatan pihak swasta amatlah penting kerana mereka boleh menyumbang dalam bentuk penajaan kepada program pembangunan sukan atau penganjuran acara sukan sebagai aktiviti tanggungjawap sosial korporat (CSR).

“Demi menggalakkan penajaan daripada pihak swasta terhadap pembangunan sukan negara, pihak Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan meluluskan permohonan MOM sebagai salah sebuah institusi yang mempunyai status kemudahan pelepasan cukai sejak 22 Julai 1965, di bawah Ordinan Cukai Pendapatan 1947.

“Saya yakin kemudahan pelepasan cukai ini menyumbang ke arah pengukuhan status kewangan MOM yang pada hari ini,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, Wan Azizah turut menyeru rakyat Malaysia mendoakan kejayaan serta kemenangan berpihak kepada skuad Harimau Malaya pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 yang bakal berlangsung di Hanoi, Vietnam, Sabtu ini.

 

Foto : Facebook Dr Wan Azizah Wan Ismail

Sumber : Bernama