Sejumlah RM300,000 bakal diperuntukkan oleh Malaysian Super League Sdn Bhd (MSL) untuk kemudahan semua persatuan bolasepak negeri dan kelab dalam mengatur bengkel sepertimana yang dianjurkan oleh MSL ini di peringkat negeri dan kelab masing-masing.

Pengumuman dibuat oleh Tan Sri Annuar Musa selaku Pengerusi MSL ketika menyampaikan ucapan penutup Bengkel Pemasaran dan Pembangunan Penyokong Kelab yang telah berlangsung selama dua hari bermula pada 12 Mac 2012 di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam dan dihadiri hampir semua wakil dari persatuan bolasepak negeri/kelab yang beraksi dalam Liga Malaysia bersama wakil kelab penyokong masing-masing.

Ini merupakan salah satu usaha dan langkah yang diperkenalkan oleh MSL dalam memperkukuhkan serta membawa Liga M ke satu tahap yang baru. Menurut Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif MSL, objektif utama bengkel ini adalah untuk membantu sesebuah pasukan dalam memperkukuhkan kekuatan mereka melalui aspek pemasaran dan promosi.

Pihak MSL akan menyediakan kepakaran yang diperlukan untuk menguruskan rundingan komersial selain daripada arah tuju penajaan, bantuan dan sokongan dan sebagainya.

Bengkel ini merangkumi beberapa segmen antaranya pemasaran kelab/persatuan, pembangunan penyokong kelab dan pengurusan penyokong kelab serta beberapa pembentangan dan ‘case study’ meliputi topik pemasaran, penajaan dan sebagainya.

Peserta juga didedahkan dengan cara dan penyelesaian dalam usaha membentuk penyokong yang setia, kuat dan memberikan keuntungan untuk kedua-dua belah pihak.

Disamping itu, bengkel ini juga menyaksikan pelancaran penjenamaan baru logo INTEGRITI beserta majlis menandatangani Memorandum Persafahaman (MoU) oleh wakil kelab penyokong masing-masing. Kempen INTEGRITI kali ini merangkumi tiga bahagian utama iaitu pemain, pengurusan dan penyokong.

“Bolasepak Malaysia terlalu banyak yang perlu diperbaiki. Realitinya begitu,” ungkap Tan Sri Annuar Musa sambil berharap mudah-mudahan bengkel ini menjadi satu titik permulaan yang baru untuk Liga M.