Jantung merupakan organ yang amat penting dalam tubuh badan kita. Tanpa jantung bagaimana untuk seseorang itu bernyawa?

Justeru itu, bagi menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh kita, penting sekali memberi perhatian sejak awal terhadap jantung.

Jantung merupakan punca utama kematian di kalangan rakyat negara yang maju dan membangun seperti Malaysia.

Serangan jantung bukan mudah untuk dielakkan, tetapi terdapat cara untuk mengatasi masalah jantung ini.

Terdapat banyak buku mengenai jantung ada di pasaran, salah satu diantaranya ditulis oleh Dr. Jamilah Jamaluddin berjudul Jantung- antara hidup dan mati.

Di dalam buku tersebut, beliau menurunkan beberapa petua penjagaan jantung bagi dijadikan sebagai panduan.

Antaranya mengawal berat badan, menjaga pemakanan, berhenti merokok, bersenam, mengurangkan tekanan atau stress dan juga melakukan perubahan gaya hidup.

i. Kawalan berat badan

Kegemukan sering mencetuskan faktor lain seperti paras lemak yang tinggi, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.

Oleh itu berat badan berlebihan hendaklah dikurangkan kepada nilai yang sesuai untuk bentuk badan seseorang itu.

Lebihan makanan yang terkumpul di dalam badan kita aka menyebabkan punca lemak terutamanya di bahagian paha, perut, tidak ketinggalan juga jantung.

Apabila lemak terkumpul di jantung akan menyukarkan jantung berfungsi.

ii. Pemakanan

Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, anda boleh mengelakkan diri daripada memakan makanan seperti mentega, keju, minyak sapi, dan makanan bersantan.

Bagi pesakit jantung pula, makanan mengandungi koloestrol yang tinggi hendaklah dielakkan. Lebihkan memakan makanan seperti sayur-sayuran dan juga buah-buahan.

iii. Berhenti merokok

Majoriti yang mendapat sakit jantung merupakan mereka yang tegar merokok. Jika pernah mendapat serangan jantung, perlulah mengikut nasihat doktor supaya amalan manghisap rokok diberhentikan.

Cara ini mampu mengurangkan risiko berulangnya sakit jantung itu.

iv. Bersenam

Bersenam merupakan cara yang terbaik untuk menjaga kesihatan. Jogging, berjalan dan mengayuh basikal merupakan contoh terbaik bagi mereka yang mempunyai sakit jantung.

Pendek kata, sebarang senaman dibuat secara teratur adalah baik dan jelas sekali kerana aktiviti ini dapat mengurangkan risiko sakit jantung.

v. Perubahan gaya hidup

Risiko mendapat penyakit jantung, darah tinggi sering dikaitkan dengan amalan atau cara hidup seseorang. Ianya meliputi aspek pemakanan, aktiviti riadah, tabiat merokok dan sebagainya.

Cara seperti ini jika sudah menjadi amalan seharian seeloknya diubah.

Amalan hidup yang sihat tentunya boleh menjaga tubuh kita, sekaligus menjaga jantung agar hidup sentiasa sejahtera.