Musuh tradisi, Selangor dan Perak dilihat kembali menghidupkan suasana permusuhan antara mereka di peringkat lebih tinggi setelah sekian lama ianya tidak dirasai kedua-dua penyokong. Permusuhan ini terbina setelah Singapura meninggalkan kancah Liga Malaysia bermula 1994.
Dengan prestasi yang meyakinkan ketika ini walaupun tanpa kelibat 5 pemain utama, anak didik Norizan Bakar ini tampak bermain dengan cukup selesa, permainan yang tersusun dan faktor taktikal jurulatih yang turut menjadi. Inilah serba sedikit kekuatan Perak sepanjang aksi peringkat kumpulan sebelum ini. Dan sudah pasti, penyerang pinjaman, Mohd Failee Ghazali akan menjadi taruhan Perak untuk merobek gawang Selangor esok malam.

Mohd Failee kini penjaring terbanyak untuk skuad Seladang sudah menjaringkan 4 gol manakala pasangan penyerangnya Shafiq Jamal pula dengan 3 gol. Shafiq Jamal yang berpindah dari musuh setempat mereka, Kedah, juga perlu diberi perhatian oleh barisan pertahanan Selangor. Keserasian kedua-dua mereka di bahagian depan pastinya mengundang resah penjaga gawang Selangor, G. Jeevananthan.

Norizan Bakar tetap tampil dengan sikap tenang dan menganggap pertemuan ini pertemuan biasa seperti perlawanan yang lain. Fokus beliau adalah untuk memanfaatkan segala ruang dan peluang yang ada untuk Perak menumbangkan Gergasi Merah di Stadium Shah Alam.

Sementara itu, P. Maniam, jurulatih sementara Selangor telah menyelamatkan maruah Gergasi Merah yang hampir tersingkir awal dari kempen Piala Malaysia kali ini. Selangor tidak boleh berasa selesa dengan keadaan pasukan mereka ketika ini dan harus terus bangkit sekiranya mahu merealisasikan Misi 33 mereka.

Ramuan taktikal P. Maniam juga kelihatan berbeza dan mendatangkan hasil yang lebih baik berbanding ketika Selangor di bawah bimbingan K. Devan. Perubahan posisi beberapa pemain serta taktikal mengubah nasib Selangor yang terumbang ambing sebelum ini.

Sekali lagi, Selangor pasti mengharapkan kaptennya, Amri Yahya dan kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim untuk merencana gerakan-gerakan ke kubu Perak manakala Fadzli Shaari pula bakal ditagih untuk merobek gawang lawan.

Menurut P. Maniam, pemain-pemainnya sudah bersedia untuk berdepan Perak dan hanya tiga pemain yang mengalami kecederaan ringan iaitu penjaga gol ketiga, Fairul Azwan dan pertahanan Khairul Anuar Baharom serta P. Gunalan.

Perlawanan suku akhir lain adalah pertemuan Derby Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Sabah melayan kunjungan T-Team di Stadium Likas dan Negeri Sembilan berkunjung ke Stadium MBPJ untuk bertemu Felda United.