Akhirnya, pertembungan yang ditunggu-tunggu ramai bakal direalisasikan. Juara UFC kategori lightweight, Connor McGregor akan menentang Floyd Mayweather; salah seorang jaguh tinju paling berjaya dalam sejarah sukan tersebut.

Pertembungan ini akan berlangsung pada 26 Ogos di T-Mobile Arena, Las Vegas. Kedua-dua mereka perlu berada dalam berat 154 pound (sekitar 69-70 kg) dalam sesi timbangan sebelum pertarungan berlangsung.

Format yang digunakan pula ialah mengikut format tinju. Ya, McGregor akan menentang Mayweather dalam aksi tinju. Mereka akan bertarung sebanyak 12 kali pusingan dengan setiap pusingan mengambil masa 3 minit. Mereka akan memakai sarung tangan dengan berat 10 ounce (280 gram).

Kedua-dua petinju ini juga akan melalui ujian dadah dari Agensi Anti Doping Amerika Syarikat (USADA) bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan bahan terlarang untuk aksi ini.

Kesemua perkara di atas ini disahkan oleh Dana White – promoter untuk pertarungan ini.

Selepas pengumuman tersebut dilakukan, kedua-dua McGregor dan Mayweather mula melakukan perang psikologi terhadap lawan masing-masing.

Mayweather yang telah bersara dua tahun lalu dengan rekod 49 kemenangan tanpa kekalahan memuat naik mengenai pertarungan tersebut di laman instagram peribadinya.

Perkara yang sama dibuat McGregor namun bintang UFC dari Ireland itu dilihat lebih seperti mengejek lawannya apabila memuatnaik gambar Floyd Mayweather Sr iaitu bapa kepada Floyd Mayweather.

Siapakah yang bakal memenangi pertarungan ini? Kongsikan pandangan anda kepada kami.

 

 

FOTO KREDIT: ESPN