“Sasaran kami di sini memang tinggi iaitu 3 pasukan teratas”, ujar ringkas pertahanan kebangsaan Singapura, Baihakki Khaizan ketika diminta mengulas mengenai sasaran yang diletakkan pasukan Lions XII di dalam saingan Liga Malaysia 2012 terutamanya Liga Super.

“Secara peribadi, sudah tentu saya inginkan kejuaraan di peringkat kelab kerana sebelum ini saya sudah berjaya menjuarai pertandingan(Piala AFF 2005 dan 2007) bersama pasukan kebangsaan. Ini akan menjadi satu tugas yang sukar, kerana Lions XII merupakan pasukan yang baru dibentuk selain pasukan-pasukan di Malaysia sudah banyak menunjukkan peningkatan terutamanya selepas pasukan kebangsaan Malaysia memenangi Sukan SEA serta Piala AFF dan telah membuktikan para pengkritik di Asia Tenggara bahawa mereka(para pengkritik) salah. Tetapi sekiranya kita bekerja keras, InsyaAllah kita mampu hasilkan sesuatu,” ujar pemain yang berketinggian 1.90 meter ini.

Dia juga turut berkata, terdapat beberapa pasukan yang perlu diberi perhatian di dalam saingan kali ini yang dijangka mampu menggugat kedudukan pasukan Lions XII.

“Sudah tentu pasukan Kelantan yang merupakan juara bertahan. Selain itu, pasukan Negeri Sembilan dan Kedah yang mempunyai ramai pemain kebangsaan serta bekas pemain kebangsaan.”

Baihakki, 28, merupakan bekas pemain Medan Chiefs yang beraksi di Liga Premier Indonesia(IPL). Dia juga pernah beraksi untuk pasukan Persija Jakarta dan Persib Bandung. Baihakki turun menjelaskan bahawa keputusannya untuk menyarung jersi pasukan Lions XII adalah kerana faktor “misi negara” dan juga faktor keluarga, setelah berkelana di Indonesia hampir 3 tahun.

Pasukan Lions XII akan beraksi di dalam saingan Liga Super 2011. Pasukan ini juga turut diperkuatkan dengan kehadiran ketua pasukan kebangsaan Singapura, Shahril Ishak serta bintang muda, Hariss Harun.