NS

Persiapan Negeri Sembilan menghadapi kempen Liga Malaysia musim depan berjalan lancar dan kini di peringkat akhir. Ketua jurulatih Divaldo Alves berkata setakat ini, beliau berpuas hati dengan prestasi pasukannya kerana setiap pemain, termasuk pemain import, menunjukkan sikap positif ketika latihan dan perlawanan persahabatan.

“Saya akan lihat perkembangan pemain disebabkan kita sudah masuk fasa akhir persediaan bagi menghadapi Liga Super musim depan sebelum menyenarai pemain. Saya yakin kita akan lihat kualiti dan karakter pemain yang sebenar disebabkan mereka perlu bersaing sesama sendiri untuk memastikan mereka terpilih,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bekas jurulatih Kelab Persebaya dari Surabaya itu, yang fasih berbahasa Indonesia, berkata walaupun beliau berpuas hati dengan tahap kecergasan dan keserasian serta persefahaman pemain, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutama dari segi tektikal.

Dalam hubungan ini, Alves yang berasal dari Portugal, berkata kerjasama sebagai satu pasukan amat penting dalam membentuk kesebelasan utama.

“Saya yakin pemain saya mampu memainkan peranan masing-masing secara berkesan untuk mengemudi pasukan dalam kempen musim depan. Oleh itu, saya menuntut komitmen kesemua pemain untuk memberikan fokus pada kempen Liga Malaysia 2013 yang bermula 5 Jan ini,” katanya.

Negeri Sembilan akan berdepan Selangor pada perlawanan pertama di Stadium Shah Alam, Selangor pada 8 Jan ini.

Ditanya berkaitan perlawanan persahabatan antara Negeri Sembilan menentang Semen Padang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Ahad ini, Alves berkata pemainnya akan lebih serius untuk menang selepas tewas 1-2 di tempat lawan
(Padang, Indonesia).

Negeri Sembilan mendapat khidmat Alves selepas Mohd Azraai Khor Abdullah tidak menyambung kontraknya dan kini menyertai pasukan Perak.

Pada musim depan, Negeri Sembilan turut diperkuat dua pemain import baharu iaitu Emanuel De Porras dari Argentina dan William Paul Modibo dari Cameroon. – BERNAMA