Persiapan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang akan berlangsung dari 18 hingga 25 Mac ini berjalan lancar selepas peratusan tahap kesediaan penganjuran perlumbaan berstatus 2.0 HC itu sudah mencapai 80 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif  LTdL 2018, M. Kumaresan dalam satu kenyataan hari ini menyatakan rasa puas hatinya terhadap segala persiapan dilakukan yang mengikut jadual sebelum ketibaan barisan pelumba dan pasukan pada 14 Mac ini bagi menyertai majlis pengenalan pasukan yang akan berlangsung di Langkawi pada 16 Mac.

“Segala persiapan dari urusan teknikal, logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi terbabit berjalan lancar dan telah mencapai tahap 80 peratus.

Secara keseluruhannya, semua jabatan sedar tanggungjawab masih-masing termasuk jabatan logistik dan laluan  yang kini dalam fasa terakhir bagi tinjauan laluan dan memastikan segala laluan berada dalam keadaan terbaik. Begitu juga, urusan penginapan yang sudah diuruskan,” katanya seperti dipetik dalam  kenyataan tersebut.

Kumaresan berkata, urusan  penyelarasan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga sedang dipergiat bagi memastikan kelancaran perlumbaan yang menampilkan 22 pasukan yang terdiri daripada pasukan Pro, Pro Benua, Benua selain pasukan kebangsaan.–

Katanya, kerjasama dan urusan penyelarasan dengan daerah dan agensi di setiap negeri turut berjalan lancar dengan 70 daerah dijangka terliibat secara langsung dalam pengendalian edisi kali ini.

“Kita perlu mengikuti perancangan yang ditetapkan KBS terutama dalam soal penetapan laluan dan urusan teknikal lain,” katanya.LTdL 2018 mempunyai lapan peringkat merentasi lapan negeri dengan jarak keseluruhan sejauh 1,341 km dan akan bermula di Kangar pada 18 Mac sebelum tamat di Kuala Lumpur pada 25 Mac.

Foto Kredit: malaysia.travel