Connect with:




Ketua jurulatih negara menyifatkan kemenangan ke atas Thailand semalam adalah persembahan terbaik anak-anak buahnya pada tahun 2019.

Gol Brendan Gan dan Mohamadou Sumareh berjaya melenyapkan kemaraan Thailand selepas pasukan pelawat mendahului menerusi Chanatip Songkrasin.

“Mereka (pemain) berjaya memberikan aksi yang cukup bertenaga selain mempunyai semangat tinggi untuk bangkit selepas ketinggalan” kata Cheng Hoe.

Aksi semalam yang disaksikan 39363 penonton di Bukit Jalil juga memperlihatkan kehebatan Brendan Gan.

“Mungkin ini rezeki beliau selepas bergelar bapa. Brendan sememangnya pemain yang cukup berkualiti. Dari hari pertama latihan lagi beliau menunjukkan sikap yang sangat positif.

“Pemain-pemain muda perlu contohi sikap Brendan. Bukan senang untuk kamu bangkit dari dua kecederaan serius di lutut. Malam tadi membuktikan sikap tidak berputus asa Brendan” tambah Cheng Hoe lagi.

Cheng Hoe pastinya mahu meneruskan lagi rentak positif ini dalam pertemuan menentang Indonesia, Selasa nanti.

Bagaimanapun beliau akan kehilangan khidmat dua pemain iaitu Matthew Davies dan Syafiq Ahmad yang digantung satu perlawanan.