Connect with:




Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan badan induk itu akan mengambil tindakan drastik susulan prestasi hambar ditunjukkan barisan pemain negara dalam saingan Seluruh England.

Norza berkata, beliau tidak berpuas hati dengan pencapaian kali ini jika dibandingkan dengan edisi tahun lalu yang menyaksikan dua wakil layak ke pentas final iaitu jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei yang muncul juara dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (naib juara).

Kali ini, cabaran Malaysia terhenti di suku akhir susulan kekalahan Chong Wei di tangan Lin Dan dari China dan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tunduk kepada pasangan Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen.

Peng Soon-Liu Ying pula ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan China, Zhang Nan-Li Yinhui.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan Chong Wei kerana dia tidak boleh lagi diberi bebanan untuk terus menghadirkan kejayaan buat negara. Chong Wei saya kategorikan dalam kes yang istimewa.

“Pemain lain yang seharusnya mengambil alih tanggungjawab itu tetapi apa yang saya lihat sekarang, mereka tidak konsisten. Kita dapat lihat kelemahan demi kelemahan yang ditunjukkan mereka.

“Kelemahan itu selama ini ditutup disebabkan Chong Wei memenangi banyak kejohanan penting. Sekarang, situasinya sudah berbeza, pemain lain harus sedar dan bangkit.

“Apa yang saya lihat, pemain kita berdepan masalah dengan penyudah. Sebagai contoh, Peng Soon-Liu Ying ketika menentang Zhang Nan-Yinhui, mereka mendahului di kedua-dua set 20-18, 19-16, tapi masih gagal memenangi perlawanan.

Perseorangan wanita kita, Sonia Cheah juga sama ketika menentang Fitriani Fitriani, dia menang set pertama dan mendahului set kedua 13-2 tetapi akhirnya kalah juga.

“Begitu juga dengan pemain lain yang berdepan masalah sama,” kata Norza yang turut berada di Birmingham bagi memberi sokongan kepada pemain negara sepanjang kejohanan berlangsung.

Mengulas lanjut, Norza berkata selepas banyak perubahan yang dilakukan badan induk itu terutama dalam memastikan kebajikan pemain terjaga, mereka seharusnya sedar dengan tanggungjawab kepada negara.

“Pengurusan BAM sudah bawa macam-macam perubahan dan penajaan tapi pemain tidak mengambil serius dengan tanggungjawab mereka. Perkara ini tidak boleh berterusan, satu bedah siasat menyeluruh perlu dijalankan ke atas prestasi pemain negara.

“Saya memandang serius perkara ini. Pemain perlu sedar, setiap kali mereka dihantar beraksi dalam kejohanan antarabangsa, tugas mereka adalah memberikan yang terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia dan bukan pergi untuk makan angin,” kata Norza.

Beliau percaya prestasi hambar barisan pemain negara kali ini sedikit sebanyak akan memberi kesan terutama dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, bulan depan.

“Sudah pasti ia akan beri kesan kerana jika kita tidak sedar dan bangkit dari sekarang, sukar untuk kita mencapai sasaran pada Sukan Komanwel nanti. Kita perlu ingat, India dan England akan menjadi pencabar utama kita di sana.

“Jika dibandingkan dengan pemain negara, pemain India dan England dilihat lebih konsisten dan itu membimbangkan saya,” katanya yang akan mengadakan pertemuan dengan semua ketua jurulatih Selasa ini bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi masalah prestasi hambar itu.

Sumber: Harian metro

Foto Kredit: www.fourthofficial.com