Connect with:




Persatuan Kriket Malaysia (MCA) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi persatuan sukan pertama di peringkat kebangsaan yang melancarkan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dan Pelancaran Aplikasi Integriti ICC Persatuan Kriket Malaysia bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Tuan Ruslan Tuan Mat dalam ucapannya mengucapkan syabas kepada MCA kerana telah mengambil langkah awal dalam menangani isu rasuah dan atur perlawanan.

“Saya mewakili SPRM ingin mengucapkan syabas dan tahniah buat Persatuan Kriket Malaysia kerana menjadi persatuan pertama di peringkat kebangsaan yang menyahut seruan SPRM dalam usaha menangani gejala rasuah dari peringkat akar umbi.

“Memang sudah ada persatuan sukan diperingkat negeri yang menandatangani ikrar bebas rasuah namun di peringkat kebangsaan Persatuan Kriket adalah yang pertama dan semoga usaha ni akan turut diikuti semua persatuan lain”, katanya ketika ditemui  di Oval Kinrara pagi tadi.

Sebelum itu Tuan Ruslan dalam ucapannya memohon kerjasama penuh dari pihak Kementerian Belia Sukan (KBS) untuk terus menggalakkan persatuan-persatuan sukan di negara ini mengambil inisiatif yang sama seperti MCA.

“SPRM sangat berharap KBS dapat meyakinkan lebih banyak persatuan sukan untuk turut serta demi melahirkan atlet yang lebih sempurna, kuat dari segi mental dan fizikal serta bebas dari masalah disiplin”, katanya.