Amirul Arif Musa Mengejar Kejuaraan CP115

Dalam usaha melahirkan lebih ramai pelumba muda, Penganjur Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) bersama-sama tiga pengeluar motosikal di Malaysia akan menganjurkan satu siri perlumbaan baharu.

Perlumbaan yang dikenali sebagai Perlumbaan Satu Pengeluar itu melibatkan
kerjasama SAM dengan Boon Siew Honda Sdn Bhd, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd dan Suzuki Assemblers (Malaysia).

Menurut kenyataan SAM, pendaftaran akan dibuka hari ini bagi siri perlumbaan
yang berlangsung dari 16 Jan hingga 11 Feb itu.

Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg berkata ini merupakan tunjang kepada usaha
berterusan dalam melahir dan membentuk bakat-bakat baru di Kejuaraan Cub Prix
AAM Malaysia Petronas yang bakal membuka tirai Mac ini.

“Pemohon mestilah warganegara Malaysia, berumur antara 13 dan 18 tahun dan
tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlumbaan kelas lain Cub Prix. Pihak
pengeluar turut menetapkan syarat fizikal di mana setiap pemohon mempunyai berat tidak melebihi 50 kilogram dan tinggi tidak melebihi 160 sentimeter.

“Dengan hanya 20 slot bagi setiap kategori, kita galakkan remaja-remaja yang
bercita-cita untuk menjadi seorang pelumba agar membuat pendaftaran dan
permohonan segera”, katanya.

Beliau berkata ini merupakan peluang yang baik untuk memulakan karier
sebagai pelumba memandangkan ia tidak begitu membebankan dari segi kos kerana
kelengkapan seperti jentera, latihan dan peralatan perlumbaan disediakan pihak
pengeluar.

Tiga kategori perlumbaan yang dipertandingkan ialah Siri Super Yamaha 135
Petronas, Cabaran Honda Future 2013 dan Cabaran Suzuki Belang 2013.

Remaja yang berminat menyertai perlumbaan ini boleh menghubungi Safe Aim
Mutual Sdn Bhd di talian 03-8733 8787. Tarikh tutup pendaftaran pada 11 Feb ini.
— BERNAMA