Perlawanan terakhir antara Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) menarik untuk disaksikan kerana mereka akan menentukan siapakah akan menjuarai Liga Perdana 2018.

Setelah mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing semalam, THT mendahului liga dengan 21 mata sambil diekori rapat KLHC dengan 20 mata.

Untuk perlawanan terakhir nanti, KLHC wajib menang jika ingin mengekalkan kejuaraan liga yang dimenangi tahun lepas manakala THT hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan mereka selaku juara sekali gus merampas kembali kejuaraan liga dari KLHC.

Bagi KLHC, perlawanan terakhir ini sudah tentu penting kepada mereka untuk mencatat kejuaraan ‘hatrik’ pada tahun ini. Mereka telah menjuarai 2 piala iaitu Piala Sumbangsih dan Piala Tan Sri P Alagendra dan mereka menewaskan lawan yang sama dalam kedua-dua kejuaraan itu iaitu THT.

Manakala bagi pasukan THT, mereka sudah tentu tidak mahu melepaskan peluang untuk muncul juara dan memburu piala sulung pada tahun ini setelah kehilangan dua piala kepada lawan mereka.

Perlawanan terakhir ini sudah tentu menarik untuk disaksikan oleh peminat hoki tanah air kerana pertembungan dua perlawanan terakhir sesama mereka berkesudahan keputusan seri dan pemenang ditentukan menerusi pukulan penalti.

Perlawanan terakhir akan berlangsung pada 2 Februari 2018 di Stadium Hoki Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada pukul 5 petang.

Foto Kredit : FB Malaysian Hockey Confederation