Sebelum Piala Malaysia berlangsung pada minggu hadapan, Kedah FA akan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi terakhir Liga Super di laman sendiri, malam esok.

Helang Merah jangka akan menurunkan barisan pemain simpanan manakala Harimau Selatan masih berahsia tentang kesebelasan utama mereka untuk perlawanan esok yang dianggap sebagai ‘prafinal’.

Persoalan yang ditanya sama ada juara Liga Super itu akan merehatkan gandingan import Gabriel Guerra, Gonzalo Cabrera dan Mohammed Ghaddar untuk aksi akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada 4 Novermber 2017.

Pengendali JDT, Ulisses Morais menegaskan bahawa setiap perlawanan amat penting baginya dan kemenangan menjadi buruan biarpun saingan liga atau perlawanan final.

Bagi Morais, mengakhiri kempen Liga Super pada musim ini akan memberi impak yang positif kepada pasukannya dalam persiapan menghadapi Kedah dalam Piala Malaysia, minggu depan.

“Kami tidak mengamalkan pasukan utama atau kedua kerana kesemua 28 pemain dalam pasukan ini memperoleh kualiti yang bagus dan mempunyai peluang yang setaraf dalam beraksi untuk pasukan utama.

“Persiapan kami berjalan dengan lancar dan perkara paling penting adalah untuk para pemain kekal cergas dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

 

Foto Kredit: Alchetron