Connect with:




Manchester United mengesahkan slot layak ke pusingan 16 terbaik hasil kemenangan 1-0  menentang Young Boys di Old Trafford pagi tadi.

Perlawanan ‘ngeri’ itu menyaksikan skuad kendalian Mourinho pada awalnya berdepan kesukaran untuk meledakkan gol dan Marcus Rashford terlepas beberapa peluang keemasan di hadapan gawang lawan sehingga masa kecederaan.

Sebelum jaringan kemenangan tersebut, Mourinho sememangnya kelihatan amat tertekan dan kecewa sehingga melepaskan kemarahannya dengan menggoncangkan kepala serta menghayunkan tangan ketika mereka terlepas menjaringkan gol.

Namun, Fellani bijak menggunakan peluang pada minit ke-91 apabila dia terus berpusing menampan bola yang kelihatan hampir dengan tangannya untuk menghadiahkan kegembiraan bermakna buat Mourinho dan pasukannya.

Meskipun ramai menganggap ianya suatu kemenangan kontroversi, tetapi Fellani menjelaskan ianya bukan disengajakan.

“Sekiranya ia menyentuh tangan saya, ia bukan secara sengaja dan ini bukanlah ‘handball’, ” katanya kepada BT Sport.

Dalam pada itu, Mourinho bagaikan ‘naik gila’ ketika meraikan kemenangan penuh dramatik itu.

Dia menyepak beberapa botol minuman sebelum mengangkat satu set botol minuman dan menghempasnya ke tepi padang, apabila United menang di halaman sendiri dan layak ke pusingan 16 terbaik.

Pengendali dari Portugal ini bagaimanapun mungkin berdepan hukuman EUFA akibat tindakannya yang keterlaluan ketika meraikan kemenangan.

Foto: Reuters