Connect with:




Satu perlawanan amal telah diadakan melibatkan Pasukan Pilihan Kota Anggerik menentang Pilihan Selangor Elite di Padang A, Eco Ardence, Setia Alam. Perlawanan amal ini bertujuan bagi mengutip dana untuk membantu meringankan beban bekas pemain Selangor dan Kebangsaan, Anuar Abu Bakar yang sedang melawan penyakit kanser.

Dalam perlawanan amal ini, Pilihan Kota Anggerik diketuai oleh Adun Kota Anggerik, YB Mohd Najwan Halimi sementara Pilihan Selangor Elite diketuai oleh Shahril Arsat.

Menurut Adun Kota Anggerik, YB Najwan Halimi, perlawanan amal ini diadakan bagi mengutip dana untuk membantu meringan beban yang ditanggung oleh saudara Anuar Abu Bakar selain dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pemain.

“Saya sebagai Adun Kota Anggerik turut menyumbangkan RM 2,000 dan mewakili Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga menyumbangkan RM 2,000 kepada saudara Anuar. Selain itu, kita akan buka satu tabung di Pusat Khidmat Masyarakat Kota Anggerik untuk bantu beliau. Jika ada sesiapa yang datang ke sana dan ingin memberi sumbangan boleh masukkan ke dalam tabung itu dan kita akan serahkan sumbangan itu kepada waris beliau”, kata Najwan.

Adun Kota Anggerik turut berharap selepas ini pihak-pihak adun atau parlimen dan kerajaan negeri boleh menganjurkan perlawanan amal ini dalam skala yang lebih besar seperti di stadium untuk kita sama-sama membantu bekas-bekas pemain bola sepak.

“Mungkin sekarang yang memerlukan bantuan adalah saudara Anuar, rentetan daripada peristiwa ini mungkin boleh difikirkan satu kaedah untuk kerajaan negeri menjaga kebajikan pemain-pemain yang pernah bermain dan berkhidmat untuk pasukan Selangor sebelum ini.

“Perlawanan amal ini adalah inisiatif kecil daripada saya sebagai Adun Kota Anggerik dan sebagai peminat pasukan Selangor, tetapi selepas ini kerajaan negeri boleh fikirkan untuk mengadakan perlawanan amal seperti ini lagi dalam skala yang lebih besar”, jelas Najwan.

Harapan Adun Kota Anggerik agar saudara Anuar terus kuat untuk melawan penyakit kanser dan berharap sokongan moral daripada keluarga, rakan-rakan dan peminat dapat menguatkan lagi beliau dan mahu melihat beliau beraksi semula di padang bersama rakan-rakan seperjuangannya dahulu.

Perlawanan amal ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kota Anggerik serta penganjur bersama Pejabat Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan. Perlawanan amal itu berkesudahan Pilihan Selangor Elite membenam cabaran Pilihan Kota Anggerik dengan jaringan 9-0.