Connect with:




Persatuan Kriket Malaysia (MCA) semalam telah menawarkan kontrak sebagai pemain tetap kepada 21 pemain daripada skuad lelaki kebangsaan.

Presiden MCA, Mahinda Vallipuram, berkata langkah berkenaan adalah salah satu usaha badan induk kriket kebangsaan itu untuk menyuntik semangat serta motivasi dalam kalangan pemain bagi meneruskan kecemerlangan mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Katanya, kontrak selama setahun itu yang mempunyai beberapa peringkat menawarkan jumlah elaun di antara RM750 dan RM2,500, juga sebagai tanda penghargaan kepada pemain yang gigih berlatih selama ini meskipun mempunyai komitmen kerja di luar.

“Beberapa tahun lalu, kami pernah memberi kontrak kepada pemain tetapi kali ini kontraknya lebih sistematik. Ia (kontrak) adalah hasil perbincangan semua pihak, termasuk wakil pemain dan pastinya sedikit-sebanyak ia dapat memberikan sesuatu yang positif kepada barisan pemain.

“Kami berjaya tampilkan prestasi terbaik sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan kontrak ini adalah langkah tepat jika kami mahu terus berjaya di peringkat tertinggi.

Mahinda, bagaimanapun, menegaskan setiap tiga bulan, kontrak tersebut akan dinilai semula oleh barisan panel terpilih dengan mengambil kira beberapa faktor, antaranya kedatangan pemain demi menjaga kualiti prestasi pasukan negara.

Dalam perkembangan yang sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan kabinet bersetuju memberikan kelulusan khas kepada Persatuan Kriket Malaysia (MCA) untuk meneruskan operasi di tapak asal pusat kriket nasional, Kinrara Oval.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keputusan itu merupakan penyelesaian kepada kemelut melibatkan MCA dan pemilik tanah, Perumahan Kinrara Berhad (PKB) apabila tempoh pajakan bermula 1 Nov 2013 tamat pada 31 Okt tahun lepas.

“KBS telah mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat termasuklah PKB. Lanjutan tempoh operasi akan dibincangkan melalui mesyuarat tiga hala di antara KBS, PKB dan MCA nanti dan satu penyelesaian bersama akan dipastikan agar dapat memberikan keputusan terbaik kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Kinrara Oval pernah menjadi tuan rumah beberapa temasya dan kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Piala Dunia Bawah-19 tahun pada 2008 dan Sukan SEA 2017.