Connect with:




Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan bahawa beliau sudah mengenalpasti dua tapak sesuai bagi membina stadium e-Sport (sukan elektronik) dalam usaha melaksanakan manifesto yang dibawa sewaktu awal pelantikannya dulu.

Terdahulu pada September yang lepas Syed Saddiq menerusi satu kenyataan berkata Stadium Jalan Raja Muda di Kampung Baru dilihat sebagai hab yang berpotensi. Terbaru syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, AirAsia menyatakan kesediaan mereka untuk membina e-Sport Arena pertama Malaysia di Klang.

“Saya tidak nafikan AirAsia melakukan tugas yang luar biasa dalam usaha memulakan pembangunan e-sports Arena pertama negara dan anda akan dapat lihat perkembangan yang bakal berlaku.

“Sebagai menteri muda di dalam kabinet yang mewakili suara anak muda Malaysia, saya akan menjadi jambatan penghubung yang akan terus berjuang membangunkan industry ini,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Media Prima Digital (MPD) dan Kitamen semalam.

Namun begitu, Syed Saddiq memaklumkan bahawa stadium itu tidak akan berada di bawah kelolaan kementeriannya tetapi akan ada badan swasta khas yang mengurus tadbir stadium tersebut nanti.

“Saya tidak mahu dilabelkan ‘syok sendiri’ kerana saya turut terbabit dalam perbincangan pembangunannya jadi saya akan mencari mereka yang terbaik untuk menguruskannya.

“Perbincangan singkat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood yang mana mereka mempunyai jaringan dengan pemain dalam industri yang berpotensi besar menyinar di negara kita ini, jadi kita mahu mereka menguruskannya kelak dan kami pihak kementerian akan menyediakan jalannya. Saya cuma mahu industri ini diuruskan dengan baik oleh individu dan badan yang tepat,” jelasnya.

Syed Saddiq yang juga penyokong sukan e-Sports di Malaysia memaklumkan bahawa sukan tersebut bakal menawarkan sekurang-kurangnya tiga pingat emas pada temasya Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

“Kami kini dalam usaha melobi sukan ini dipertandingkan bukan sekadar sukan pertunjukkan tapi sebuah sukan yang menawarkan pingat dan makluman terbaru kami terima ia akan dimasukkan dalam senarai pungutan pingat kontinjen bertanding.

“Matlamat kami bukan setakat Sukan SEA saja tapi kami berusaha untuk membawanya ke Sukan Asia dan Komanwel malah mungkin ke Olimpik kerana saya tahu ramai anak muda yang melibatkan diri dalam perkembangan e-Sports di serata dunia.

“Sebagai seorang yang bergelar ‘gamers’  saya yakin anak muda kita telah menghabiskan banyak wang, mengorbankan masa dan usaha untuk melibatkan diri dalam sukan ini dan jika kita tidak memberi mereka platform terbaik untuk mengasah serta menunjukkan bakat, maka peluang sekali seumur hidup mungkin akan terlepas,” ujarnya lagi.

 

Foto : Facebook Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Sumber : MyGameOn