Kota Bharu bakal menjadi tumpuan peminat bolasepak tempatan malam ini dengan berlangsungnya pertembungan juara trebel musim lalu, Kelantan menentang barisan bintang dari selatan iaitu Johor Darul Takzim FC.

Permulaan kedua-dua pasukan di awal musim setakat ini tidaklah begitu meyakinkan. Tuan rumah Kelantan sekadar mencatatkan satu kemenangan tipis dan satu kekalahan. Begitu juga dengan DTFC, selepas tewas kepada Pahang di perlawanan pembukaan, pasukan kendalian Fandi Ahmad ini hanya mampu menang 1-0 keatas Perak walaupun berkelebihan 2 pemain diatas padang.

Barisan bintang Darul Takzim masih belum dilihat 'bersinar' sepenuhnya

Barisan bintang Darul Takzim masih belum dilihat ‘bersinar’ sepenuhnya

 

Situasi ini pastinya meresahkan peminat kedua-dua pasukan. Justeru, perlawanan malam ini menjadi medan terbaik untuk Bojan Hodak dan Fandi untuk membawa semula pasukan ke landasan yang tepat dalam misi mengukuhkan lagi kedudukan dalam liga.

Tambah menjadikan perlawanan malam ini lebih ‘panas’ semestinya kehadiran semula Nurshahrul Idlan Talaha ke Kota Bharu. Penyerang kebangsaan yang juga Pemain paling Bernilai 2012 ini diangkat sebagai hero bagi peminat The Red Warriors selepas membantu Kelantan menjulang 3 piala.

Namun, penghijrahannya ke Darul Takzim sehingga menimbulkan isu tebus kontrak Matyo dengan KAFA membuatkan peminat Kelantan sedikit kecewa dengan pemain kelahiran Besut ini.

Selain Matyo, turut kembali pulang ke Kota Bharu malam ini ialah Nurul Azwan Roya. Kelibat Matyo, Nurul Azwan serta gandingan bintang seperti Muslim Ahmad, Safiq Rahim, Dani Guiza, Aidil Zaquan dan Simone Del Nero menjadikan pasukan bergelar Harimau Selatan ini sebagai pilihan untuk memungut 3 mata malam ini.

Namun begitu, harus diingat Kelantan mempunyai kelebihan beraksi dihadapan ribuan penyokong setia mereka ditambah pula pemain-pemain mereka pasti mahu menebus kembali kekalahan kepada T-Team sebelum ini menerusi kemenangan keatas Dari Takzim FC. Rekod cemerlang mereka di kubu sendiri juga pastinya memberi petanda buat Fandi Ahmad bahawa anak buahnya akan menghadapi kesukaran sepanjang 90 minit beraksi nanti.

Sandaran Kelantan dijangka terletak pada bahagian tengah mereka dengan kapten pasukan Badri Radzi, Indra Putra dan Shakir Shaari akan menggalas tanggungjawab ini. Selain itu, peminat tempatan turut akan menumpukan perhatian kepada Keita Mandjou, penyerang import Kelantan yang dikecam hebat akibat prestasi hambarnya yang setakat ini masih belum mampu meledak sebarang jaringan.

Dalam pada itu, 5 lagi perlawanan Liga Super turut berlangsung antaranya Pahang menentang Negeri Sembilan di Kuantan, PKNS FC menerima kunjungan LionsXII di Shah Alam, Terengganu menentang Selangor, ATM bertemu T-Team dan juga Perak menentang Felda United di Lumut.