Connect with:




Kemenangan Liverpool ke atas Tottenham Hotspur awal pagi tadi menyaksikan persaingan dalam merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin sengit antara juara bertahan, Manchester City dan Liverpool.

Skuad kendalian Jurgen Klopp kini kembali di persada liga, dua mata di hadapan City dengan kelebihan satu perlawanan hasil kemenangan tipis 2-1 di Anfield.

Terdahulu, skuad Pep Guardiola berjaya mencatat kemenangan 2-0 mengalahkan pasukan di ambang penyingkiran, Fulham hasil jaringan Bernardo Silva dan Sergio Aguero.

City akan melayan kunjungan Cardiff City di Stadium Etihad pada 4 April. Jika City menang, City akan kembali meneraju takhta liga yang berbaki enam perlawanan untuk ditamatkan.

“Kami tiada pilihan lain. Kami perlu menang setiap perlawanan yang kami main jika tidak mahu hilang mata atau tersingkir dalam mana-mana pertandingan.

“Dalam perlawanan menentang Cardiff, saya akan melakukan beberapa pertukaran pemain. Kami tidak akan boleh menang EPL dan pertandingan lain jika menggunakan pemain yang sama. Sebahagian pemain akan beraksi dan saya harapkan yang terbaik daripada mereka”, kata Pep selepas tamat perlawanan menentang Fulham.

Sebaliknya, Klopp menganggap gol kemenangan ke atas Spurs bukanlah nasib tetapi dalam bola sepak semuanya boleh berlaku. Liverpool menang menentang Spurs hasil tampanan sendiri pertahanan Spurs, Toby Alderweireld pada masa kecederaan.

“Pada babak pertama kami ada peluang hebat dan menjaringkan gol yang menarik. Pada babak kedua kami nampak berat dan tidak boleh bermain.

“Tottenham berubah sedikit. Kami tidak menyesuaikan diri. Saya tidak gembira kami melepaskan gol, tetapi selepas gol Spurs, kami kembali bermain dengan baik.

“Saya melihat tandukan itu. Saya tidak tahu bagaimana ia masuk. Ia hanya sesuatu yang positif. Saya pernah katakan ada 500 cara menang bola sepak dan hari ini agak kotor. Siapa kisah?”, jelas Klopp.

Foto : Sportskeeda