Gabungan barisan muda dan berpengalaman Vietnam berjaya mengejutkan Malaysia dengan keputusan 2-0 dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, semalam.

Pengendali skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagobal dilihat mahu mencuba ramuan baru dengan tidak menurunkan pemain utama seperti Safee Sali, S.Kunalan, dan Khairul Fahmi. Sebaliknya, Farizal Marlias,  Wan Zack Haikal, Gary Steven dan Christie Jayaseelan diberi kepercayaan untuk memulakan perlawanan.

Percaturan gandingan baru tidak menjadi

 

Percaturan tersebit dilihat serba tidak menjadi dengan Vietnam lebih banyak menguasai bola. Pertahanan negara yang diketuai Bunyamin Omar dan Aidil Zafuan juga agak kelam kabut dengan Vietnam sering mengkucar-kacirkan Harimau Malaya menerusi penyerang berbisa mereka, Le Cong Vinh yang pernah menjalani latihan bersama kelab Portugal, Leixoes.

Malaysia bagaimanapun mendapat peluang terbaik untuk mencetak gol menerusi sungkitan Norshahrul Idlan Talaha pada minit 22 namun cubaannya sedikit tersasar dari gawang Vietnam.

Norshahrul Idlan Talaha cuba melepasi kawalan pemain Vietnam

 

Serangan bertali arus Vietnam akhirnya membuahkan hasil pada minit ke 31 selepas Cong Vinch mengambil kesempatan terhadap kesilapan Farizal Marlias untuk membawa Vietnam 1-0 dihadapan. 2 minit berselang, Cong Vinch sekali lagi hampir menambah jaringan namun mujur Aidil Zafuan berjaya mengeluarkan bola dari garisan.

Memasuki penghujung babak pertama, Malaysia memperoleh peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma yang dihadiahkan pengadil selepas penjaga gol Vietnam, Nguyen Thanh Binh melakukan kesalahan teknikal. Bagaimanapun, sepakan yang diambil Zafuan sekadar singgah di benteng lawan.

Zaquan Adha Belum Serasi

 

Bersambung babak kedua, Vietnam terus mengasak pintu gol Malaysia dan sekali lagi “The Golden Star” berjaya mengambil peluang terhadap kelemahan benteng pertahanan Malaysia dengan menjaringkan gol kedua hasil jaringan Phan Than Hung pada minit ke-47.Than Hung tidak mensia-siakan bola yang diumpan rakannya Troang Hoang yang begitu mudah menyelinap masuk pertahanan Malaysia terutamanya dari sebelah kiri.

Kemasukan Kunalan dan Safee Sali seedikit sebanyak menghidupkan serangan Malaysia namun penyudah yang tumpul gagal membuahkan hasil. Sebaliknya Vietnam terus mengekalkan penguasaan bola dan sering kali berjaya melepaskan rembatan deras ke gawang Malaysia.

Safee Sali mengubah rentak serangan Malaysia

 

Keputusan 0-2 ini kekal sehingga tamat perlawanan. Kedua-dua pasukan dijangka sekali lagi bertemu dalam satu lagi perlawanan persahabatan pada 3 November di Hanoi nanti.