Connect with:




Perak dan Pulau Pinang muncul juara Kejohanan TNB-KHM Bawah 16 Tahun Kebangsaan Lelaki dan Perempuan 2019 yang berlangsung pada Sabtu di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan Pahang selepas mereka cemerlang menundukkan lawan masing-masing.

Perak membenam cabaran Selangor, 5-0 bagi kategori lelaki untuk terus mengekalkan kejuaraan yang mereka miliki buat kali ketiga berturut-turut dan Muhammad Amirul Haniff Mamat mencipta sensasi apabila meledak empat gol selain Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar turut menjaringkan satu gol.

Pulau Pinang pula muncul juara bagi kategori perempuan selepas menewaskan Terengganu 2-1 dan pemain Pulau Pinang, Allisya Yushira Badri dipilih selaku pemain terbaik perlawanan akhir.

Pengendali Perak, Hairul Nizam Ab Rani yang ditemui selepas tamat perlawanan akhir nyata gembira dengan komitmen yang telah diberikan oleh pemainnya selain memuji bakat yang dimiliki oleh pemain yang diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir serta penjaring gol terbanyak, Muhammad Amirul Haniff Mamat.

“Pemain memberikan kerjasama yang bagus selain mengikuti segala perancangan dengan baik serta mereka memberikan komitmen sepenuhnya dan hasilnya kami pertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.

“Saya cukup bangga dengan pemain-pemain saya dan kejayaan hari ini adalah kejayaan pemain kerana apa yang mereka lakukan adalah untuk diri mereka dan kehadiran saya adalah hanya untuk membantu mereka memperbaiki setiap kekurangan yang ada dan keazaman mereka untuk menang cukup tinggi jadi mereka melakukannya hari ini.

“Amirul merupakan seorang pemain yang cukup bagus selain berbakat besar bukan hanya untuk kejohanan ini tetapi dia boleh melangkah lebih jauh dan mungkin beraksi di pentas antarabangsa satu hari nanti,” ujarnya.

Bagi kategori perempuan pula, Pulau Pinang muncul juara menerusi jaringan Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi pada minit ke-24 dan Nur Irdina Alia Saffiya Shuhaimi pada minit ke-53 sementara gol saguhati Terengganu dijaringkan oleh Nurul Erna Fariesha Mohd Faizal pada minti ke-31.

Pengendali Pulau Pinang, Kannagi Arumugam memuji barisan pemainnya yang bijak menggunakan peluang untuk menghasilkan jaringan dan menjelaskan pemainnya melepaskan satu gol seminit selepas suku ketiga bermula kerana mereka masih mencari rentak untuk memulakan aksi di separuh masa kedua.

“Perlawanan hari ini pemain saya menggunakan peluang yang mereka ada dengan sebaiknya dan menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan kami.

“Bermulanya suku ketiga, pemain saya belum bersedia sepenuhnya dan masih dalam keadaan kelam kabut serta tidak memberikan fokus dengan sepenuhnya jadi Terengganu menggunakan kesempatan tersebut untuk menjaringkan gol.

“Saya gembira dan bangga apabila diberikan kepercayaan oleh Pulau Pinang untuk membawa pasukan pada tahun ini dan saya menggunakan peluang tersebut dengan sebaik mungkin untuk membalas kepercayaan mereka.

“Selain itu saya turut dibantu oleh barisan kejurulatihan Pulau Pinang yang sedia ada juga pemain yang bagus dengan tambahan strategi yang saya miliki, kami mensasarkan untuk muncul juara dan kami mencapai sasaran tersebut,” jelasnya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Keputusan Perlawanan:

LELAKI
JOHOR 2-0 PAHANG (Tempat ke-3 dan ke-4)
SELANGOR 0-5 PERAK (Akhir)

PEREMPUAN
KUALA LUMPUR 3-2 NEGERI SEMBILAN (Tempat ke-3 dan ke-4)
TERENGGANU 1-2 PULAU PINANG (Akhir)

ANUGERAH
Kategori Lelaki
Juara: Perak
Naib Juara: Selangor
Tempat Ketiga: Johor
Fairplay: Melaka
Penjaring Terbanyak: Muhammad Izaz Afdhaal (SABAH) – 10 gol / Muhammad Amirul Haniff Mamat (PERAK) – 10 gol
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Muhammad Amirul Haniff Mamat (PERAK)
Penjaga Gol Terbaik: Mohamad Rusyaidi Mohamad Rizal (PERAK)
Pemain Terbaik Kejohanan: Muhammad Danish Aqasha Khairul Azli (SELANGOR)

Kategori Perempuan
Juara: Pulau Pinang
Naib Juara: Terengganu
Tempat Ketiga: Kuala Lumpur
Fairplay: Kuala Lumpur
Penjaring Terbanyak: Norshafiqha Ishak (MELAKA) – 11 gol
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Allisya Yushira Badri (Pulau Pinang)
Penjaga Gol Terbaik: Nur Anis Erysha Zamri (Pulau Pinang)
Pemain Terbaik Kejohanan: Nur Shafika Ahmad Kamil (Terengganu)