Connect with:




Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim tidak tertekan dengan bekalan tipis 1-0 yang bakal di bawa skuad bimbingannya itu apabila bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin bagi mengharungi separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) 20 Oktober ini.

Meskipun sedar misi getir menanti anak buahnya di Larkin nanti, pengendali berpengalaman berusia 67 tahun itu yakin beliau mempunyai adunan tersendiri bagi menjinakkan skuad Harimau Selatan dan merealisasikan impian ke pentas final.

“Mereka bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong setia mereka nanti dan pastinya ia satu kelebihan buat JDT nanti, namun kami sudah mempunyai rangka strategi yang bakal diterapkan kepada pemain bagi mengharungi perlawanan sukar ini.

“Kami tidak akan bermain secara bertahan di sana (Larkin), saya tidak fikir kita mampu bertahan untuk tempoh sepanjang perlawanan kerana ianya akan mendatangkan padah pada kami sendiri jadi saya akan arahkan para pemain untuk menyerang serta mencari gol awal kerana saya sangat sedar, satu gol tidak banyak.

“Kami terapkan dalam diri semua pemain untuk kekal tenang dan fokus ketika turun beraksi dan saya juga mengingatkan mereka untuk lebih berdisiplin menutupruang bagi mematikan jentera lawan bermula dari bahagian tengah lagi,” jelas Irfan.

Irfan yang boleh dilabel sebagai pakar taktikal di negara ini nyata masih mahu berahsia mengenai gambaran kesebelasan utama yang bakal diturunkan kelak dan pastinya beliau mempunyai banyak pilihan kerana semua tonggak pemainnya bebas daripada kecederaan dan pergantungan.

“Saya percaya peluang buat kami ke pentas akhir masih terbuka malah semua pemain saya sangat bersemangat ketika sesi latihan dan kami berharap agar para pemain tidak melakukan kesilapan mudah bagi mengelak dari dihukum lawan,” ujarnya lagi.

Irfan yang pernah mengendalikan kelab Persipura Jayapura di Liga Indonesia mempunyai impian untuk mengulangi kejayaan 2011 apabila beliau berjaya membawa Sang Penyu ke perlawanan akhir sebelum dijinakkan Negeri Sembilan 1-2.

 

Foto : Facebook Terengganu FC

Sumber : New Straits Times Press