Terengganu memberikan satu persembahan menarik untuk menumbangkan Selangor 2-0 dengan Manaf Mamat menjadi pemusnah di Stadium Shah Alam hasil dua gol menariknya di hadapan hampir 25,000 penyokong.

Seawal minit pertama, hasil hantaran lintang dari Ashaari Shamsuddin dimanfaatkan sepenuhnya oleh Manaf Mamat untuk gol pertama Terengganu. Dalam posisi yang hampir jatuh dan membelakangkan gol, dia bijak menghulurkan tumit belakangnya untuk menyentuh bola menewaskan G. Jeevananthan yang kelihatan tergamam.

Walaupun cuba bangkit, Selangor kelihatan gagal mengawal tekanan dan akibatnya sepakan percuma Safiq Rahim dan tandukan Bunyamin Omar melepasi palang gol. Beberapa serangan turut disia-siakan barisan penyerang Selangor.

Kelekaan Selangor untuk mencari gol dan kelonggaran pertahanan mereka sekali lagi dimanfaatkan oleh jentera serangan Terengganu. Melalui gerakan dari Kallang Tie dan Abd Hadi Yahya di sebelah kiri gol, Manaf Mamat berjaya melepaskan sepakan leret dari luar kotak penalti mencari penjuru kiri gol dan berjaya menewaskan Jeevanathan untuk kali kedua pada minit ke 32.

Pertukaran beberapa pemain dengan mengeluarkan Hardi Jaafar dan Azidan Sarudin digantikan oleh Rudie Ramli dan Fadzli Shaari, menampakan sedikit perubahan rentak permainan Selangor.

Walaupun menguasai hampir keseluruhan babak kedua, namun ketangkasan Sharbinee Allawee bersama pertahanan Terengganu berjaya menafikan beberapa siri percubaan skuad Gergasi Merah.

Sabtu ini, Selangor akan bertandang ke gelanggang lawan pula dalam misi untuk mencari kemenangan dan memastikan mereka layak ke perlawanan akhir pada 29 Oktober nanti.