Para penyokong bolasepak Terengganu sudah pasti menanti dengan penuh debaran keputusan perlawanan Kumpulan F, Piala AFC 2012 di antara Sang Penyu yang bertandang ke wilayah timur laut Vietnam untuk bertemu dengan juara Liga Super negara itu, Song Lam Nghe An (SLNA) yang akan berlangsung petang ini.

Ianya ialah kali pertama dalam sejarah bolasepak Terengganu, pasukan mereka mengatur langkah dalam pertandingan peringkat benua itu selepas berjaya memenangi Piala FA musim lepas.

Namun kebanyakan anak-anak buah Mat Zan Mat Aris sudah pun mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa. Penjaga gol Sharbinee Allawee, pemain pertahanan Muslim Ahmad serta penyerang Abdul Manaf Mamat mempunyai kenangan manis di bumi Vietnam apabila membantu Malaysia memenangi pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2009.

Pemain-pemain lain juga seperti pemenang Kasut Emas 2010, Ashaari Shamsuddin dan 2011, Abdul Hadi Yahya sudah pasti ingin membuktikan kemampuan mereka di peringkat ini.

Namun perhatian pihak lawan sudah pasti akan tertumpu kepada penyerang Liberia, Francis Doe yang sudah membuat impak yang besar dengan menghasilkan tujuh gol dari lapan perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.

Persembahan yang kurang meyakinkan para pemain Terengganu ketika menang 1-0 ke atas Kuala Lumpur baru-baru ini seharusnya menjadi pembangkit semangat bahawa mereka perlu berusaha lebih keras untuk memberi persembahan terbaik ketika menentang SLNA nanti.

Juara Liga Vietnam yang berpengkalan di Bandaraya Vinh itu akan mengharapkan rangkaian trio import mereka akan mampu merobek pertahanan Terengganu di hadapan penyokong mereka sendiri. Penyerang berbangsa Cameroon, Gustave Bebbe serta Abbas Cheikh Diang dari Senegal akan mengharapkan usaha kreatif dari penggerak Trinidad & Tobago, Hughton Hector untuk mereka menjaringkan gol.

Barisan pertahanan Terengganu yang akan diketuai oleh Mazuki Yusof yang dijangka akan berganding dengan Muslim sudah pasti akan bekerja keras bersama-sama dengan Mazlizam Mohamad dan Zubir Azmi untuk menghalang asakan-asakan SLNA dari membuahkan hasil.

Selain dari itu para pemain Terengganu juga perlu berhati-hati dengan pemain-pemain seperti Pham Van Quyem dan Nguyen Trong Huoang yang boleh memberi impak yang besar dalam satu-satu perlawanan.

Barisan hadapan Sang Penyu pula terpaksa berhadapan dengan pemain berpengalaman SLNA, Nguyen Huy Huoang yang juga ketua pasukan tersebut bersama dengan rakan-rakan beliau di barisan pertahanan pasukan tuan rumah.

Harapan peminat bolasepak Terengganu khususnya dan Malaysia amnya, ialah kemenangan akan berpihak di pasukan dari pantai timur itu untuk terus memartabatkan bolasepak negara di peringkat Asia pula.