Lebih kurang 200 penyokong berbaju hitam yang dikenali sebagai Gabungan Penyokong Bolasepak Sabah mengadakan protes semasa perlawanan Sabah menentang PKNS di Stadium Likas, malam tadi.

Protes diadakan susulan kekalahan memalukan 9-0  kepada Singapura baru-baru ini. Keadaan menjadi lebih parah apabila Sabah sekali lagi tewas dengan jaringan besar 4-0 dalam aksi menentang PKNS menjadikan pasukan Sabahawks bolos sebanyak 13 gol.

Protes bermula apabila penyokong ini bertindak keluar dari stadium selepas 15 minit bermula dan mula berkumpul di luar stadium dengan membawa sepanduk mendesak pengurusan bolasepak Sabah (SAFA) meletakkan jawatan serta meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.

Seorang penyokong yang enggan dikenali berkata, protes ini bukanlah untuk menghentam pemain sebaliknya mendesak pengurusan bertanggungjawab seterusnya meletakkan jawatan.

Mereka yang berkumpul dan menunggu di luar pintu utama akhirnya kecewa apabila pengurusan SAFA mengelak untuk bertembung dan tidak keluar melalui pintu tersebut.