Connect with:




Seorang peninju Muay Thai yang baru berusia 13 tahun meninggal dunia selepas terkena pukulan di kepala dalam perlawanan amal yang bertempat di Samut Prakan, Thailand.

Media tempatan melaporkan dalam kejadian yang berlangsung pada 10 November itu, Anucho Thasako yang tersingkir selepas menerima pukulan ‘knockout’ di kepala rebah ke lantai sebelum disahkan menderita pendarahan otak dua hari selepas bersaing.

Difahamkan remaja muda itu telah menyertai sekuarang-kurangnya 170 perlawanan di daerah berkenaan untuk mendapatkan duit bagi membantu keluarga seawal usia lapan tahun.

Rakaman perlawanan berkenaan menunjukkan bahawa anak muda yang dikenali nama tinjunya, Phetmongkol Por Peenapat, dan lawannya tidak memakai pelindung penutup kepala.

Ramai yang mengkritik pengadil yang tidak menghentikan perlawanan ketika melihat Anucha menerima banyak pukulan dari pihak lawan.

Lawan Anucha berusia 14 tahun,¬† yang tiada niat untuk ‘membunuhnya’ meluahkan rasa terkilan dan sangat sedih hingga merancang untuk menjual seluar pendeknya bagi mengumpul dana buat keluarga Anucha.

Kematian tragisnya menyebabkan ramai pihak tampil membuat bantahan untuk melarang kanak-kanak mengambil bahagian dalam mana-mana perlawanan tinju dan kini kerajaan Thailand sedang meninjau undang-undang melarang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun daripada bersaing dalam perlawanan tinju yang sangat popular di negara tersebut.

Sekiranya berjaya, draf rang undang-undang itu menetapkan usia minimum 12 tahun untuk menyertai perlawanan dan juga akan mengawal penyertaan remaja muda.

Sementara itu, Gen Adulyadej Inthapong, Naib Pengerusi Jawatankuasa Dewan Undangan Nasional Sukan, memberitahu Reuters: “Mereka yang berumur 12 hingga 15 tahun perlu didaftarkan, perlu mempunyai keizinan dari ibu bapa dan memakai alat perlindungan untuk perlawanan profesional.”

Segelintir penduduk bagaimanapun, menentang undang-undang yang dicadangkan dan menganggap ianya sebahagian daripada tradisi tinju turun-temurun di negara itu dan menegaskan perlawanan tinju kanak-kanak memberi banyak keuntungan buat mereka.

Dalam perkembangan lain, ini merupakan kes kedua kematian tinju yang tragis dalam beberapa minggu, selepas peninju Itali, Christian Daghio meninggal dunia baru-baru ini.