maybank

Pemain golf nombor dua dunia, Luke Donald dari England akan membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Golf Maybank Terbuka Malaysia, Mac ini, kata penaja acara golf utama, Maybank.

“Pengesahan (penyertaan) Luke Donald sememangnya satu rangsangan bagi
Maybank Terbuka Malaysia,” kata pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Beliau juga mengumumkan semasa satu sidang akhbar bahawa hadiah wang bagi
kejohanan dinaikkan kepada US$2.75 juta (kira-kira RM8.37 juta), meningkat US$250,000 (RM760,911.16) daripada kejohanan tahun lepas.

Edisi ke-52 kejohanan akan berlangsung di Kuala Lumpur Golf and Country Club
(KLGCC) di Bukit Kiara pada 21 hingga 24 Mac. Megat Zaharuddin berkata sejak penajaan diambil alih pada 2006, Maybank berusaha membawa personaliti golf bertaraf dunua ke Malaysia.

“Kehadiran Donald, seperti pemain-pemain handalan yang kita ada pada masa-masa lepas, bukan sahaja menarik kehadiran orang ramai tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam peta golf global.

“Dengan minat dan penonton yang semakin bertambah pada Maybank Terbuka
Malaysia, kami bercadang meneruskan usaha memberi peluang kepada peminat
tempatan dan pemain golf dengan peluang melihat aksi pemain terbaik dunia di
padang golf kita, dalam proses itu, meningkatkan mutu golf di Malaysia,”
katanya.

Antara pemain golf berkaliber yang datang ke Malaysia ialah Rory McIlroy,
Louis Oosthuizen, Matteo Manassero, Martin Kaymer, Charl Schwartzel, Charlie Wi
dan Thongchai Jaidee.

Semasa ditanya mengenai tarikh kejohanan yang bertindih dengan Grand Prix
Formula One Petronas 2013 (22-24 Mac), Megat Zaharuddin berkata sukan golf
mempunyai peminat tersendiri dan begitu juga dengan Formula One.

“Kami ada berbincang dengan pihak Petronas untuk merancang penganjuran
kedua-dua acara sukan ini supaya jika ada peminat dari luar negara yang
meminati kedua-duanya dapat datang ke Malaysia.

“Namun, pada hari terakhir, terpulanglah kepada penonton berkenaan sama ada
untuk memilih golf atau F1. Saya rasa sekiranya Luke Donald menguasai
perlawanan, saya yakin ramai penonton akan datang ke sini (KLGCC),” katanya.

Donald, 35, yang memenangi Money Lists bagi kedua-dua kawasan Alantik pada
2011, telah terakru tujuh gelaran Jelajah Eropah termasuk kejayaan dalam acara
utama Tour berturut-turut, kejohanan PGA BMW. – BERNAMA.