wpid-dunia-sukan-image-for-website-story17-300x200.jpeg

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu setiap pengurus pasukan bola sepak di negara ini lebih cekap menguruskan setiap pemain serta bijak menyusun strategi untuk penjenamaan semula pasukan masing-masing.

Beliau berkata dalam arena pengurusan bola sepak moden hari ini setiap
pengurus pasukan perlu bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang
merancang strategi pasukan yang diterajuinya.

“Dalam pengurusan bola sepak moden, kita tidak boleh lagi menggunakan
pengurusan cara lama, kalau dahulu mungkin pengurus hanya membuat pengurusan
dari aspek tiket perjalanan dan keperluan logistik semata, tetapi hari ini
persepsi begitu perlu berubah.

“Pengurus pasukan mesti bertindak sebagai seorang CEO, melihat setiap pemain
adalah aset yang besar dan mempunyai matlamat bagaimana mambantu meningkatkan prestasi pasukan dari segi penjenamaan semula,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu perpindahan Pemain
Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Negara 2012 Norshahrul Idlan Talaha atau
Mat Yo daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ke Johor Darul Takzim.

Bagi perpindahan itu, Mat Yo membayar wang penebusan kontraknya dua kali
menerusi draf bank sebanyak RM250,000 dan RM49,000 masing-masing pada 4 dan 5 Jan lepas yang didapati menepati Perkara 8.5, iaitu apabila pemain menamatkan kontrak sebelah pihak, ahli gabungan FAM berkenaan, berhak mendapat ganti rugi kesemua baki kontraknya.

Ahmad Shabery berkata isu perpindahan Mat Yo dari Kelantan ke Johor Darul
Takzim merupakan satu pengajaran kepada mana-mana pasukan atau persatuan bola sepak supaya setiap urusan pengambilan pemain mestilah mempunyai kontrak yang jelas.

“Mungkin ada pihak yang ghairah untuk dapatkan pemain tertentu dan akan
merosakkan pasaran, tetapi saya percaya kemudiannya selepas itu penyesuaian
akan dibuat untuk menilai kembali nilai seseorang pemain itu.

“Dalam dunia sukan sebagai industri, memang terdapat faktor pasaran iaitu
penawaran dan permintaan melibatkan nilai yang tinggi, ia sesuatu yang positif
dan menjadi pemain bola sepak sudah menjadi satu kerjaya profesional, tidak
seperti dahulu,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya nilai yang tinggi bagi seseorang pemain bola
sepak, ia akan menjadi motivasi kepada ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka
terlibat dalam bidang sukan.

Terdahulu, Ahmad Shabery merasmikan bangunan pentadbiran Jabatan Belia dan
Sukan Negeri Pulau Pinang yang bernilai lebih RM5 juta yang siap dibina pada 26
Okt 2010.

Bangunan di atas tanah seluas 0.12 hektar di Jalan Batu Uban itu antara lain
menempatkan kemudahan kawasan meletak kenderaan, bilik gerakan strategik, bilik
gerakan dan bilik mesyuarat. – BERNAMA.