Juara Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan sedang dalam proses akhir persediaan menghadapi musim 2012 dengan mengadakan dua aksi persahabatan di Australia. Sebelum berangkat ke Australia, Negeri Sembilan sudah melalui beberapa perlawanan persahabatan di tanahair dengan tiga kemenangan dan kalah dalam dua lagi perlawanan.

Status sebagai juara Piala Malaysia gagal menghalang nama-nama besar untuk meninggalkan skuad Hoben Jang Hoben antaranya Mohd Aidil Zafuan, Mohd Zaquan Adha, Hairuddin Omar dan Irwan Fadzli Idrus. Selain itu, Negeri Sembilan juga kehilangan Farizal Harun, Ahmad Fakri Saarani dan beberapa lagi pemain lain.

Walaubagaimanapun, situasi ini sama sekali tidak menjejaskan persiapan pasukan untuk musim depan. Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah dilihat tenang menghadapinya dan menyatakan keyakinan terhadap pemain yang ada dalam pasukan ketika ini.

“Kehilangan beberapa tonggak utama tidak menjejaskan kekuatan pasukan. Saya yakin dengan pemain-pemain muda yang bersama kita musim depan,” ulasnya berkenaan kesan penghijrahan pemain-pemain utamanya ke pasukan lain.

Ditanya mengenai tahap persediaan pasukannya untuk musim depan, Azraai menyatakan bahawa semuanya berjalan lancar. Pemain-pemain juga dilihat sudah bersedia untuk menentang Kelantan dalam aksi Piala Sultan Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) yang dijadualkan pada 10 Januari depan.

“Pemain-pemain baru dilihat boleh memikul tugas dengan baik. Lagi-lagi yang muda. Ia memberi harapan buat pasukan untuk melangkah maju ke hadapan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, bagi kapten Negeri Sembilan, Mohd Shukor Adan, 32, kehilangan ramai tonggak senior dalam sesuatu pasukan itu pastinya akan dirasai namun dalam bolasepak, itulah situasi yang mesti dilalui sesebuah pasukan.

“Saya lihat keluar masuk pemain itu tidak akan mengubah sasaran kami untuk mengejar sebarang kejuaraan. Kami mungkin mempunyai ramai pemain muda ketika ini, namun sekiranya kami bermain sebagai satu pasukan dan mengikut arahan jurulatih, segalanya pasti akan berjalan baik,” katanya lagi.

Negeri Sembilan telah memancing dua pemain tengah Kuala Lumpur iaitu Norismaidham Ismail dan Mohd Nazrin Nawi serta penjaga gol dari PKNS FC, Badrulzaman Abdul Halim. Selain itu, posisi pertahanan turut menerima pemain baru iaitu Rashid Mahmud (Felda United) dan Mohd Zulfaizham Kamis dari Kedah. Turut dibawa masuk dari Kedah adalah penyerang, Ahmad Shakir Ali.

Walaupun sudah mendaftarkan dua pemain import iaitu Marquen Nuquen Goncalves Ferriera dan Jean-Emmanuel Effa Owona, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini memutuskan hanya Emmanuel Effa sahaja yang boleh beraksi manakala pendaftaran Marquen pula ditolak.

Bekas penyerang Harimau Muda dan Kedah, Ahmad Shakir Ali dilihat paling menyerlah ketika ini dengan empat jaringan peribadinya sepanjang aksi persahabatan berbanding penyerang import dari Cameron iaitu Jean-Emmanuel Effa.

“Saya kenal Shakir dari saya guna dia untuk berpasangan bersama Marlon (Marlon Alex James) dalam Piala AFC dulu lagi (Kedah) sebelum dia diserap ke pasukan Harimau Muda. Dan dia adalah penjaring utama Harimau Muda dalam Liga Perdana tahun 2009.

“Dari mereka tutup peluang dia bermain, baik saya bawa dia bersama saya di Negeri Sembilan untuk asah bakatnya semula,” tambah Azraai lagi mengenai Shakir Ali.