Connect with:




Berikutan prestasi hambar skuad Harimau Kumbang, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akhirnya mengambil tindakan drastik dengan merehatkan serta merta ketua jurulatih, Ahmad Yusoff dalam saingan Liga Premier 2019.

Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan keputusan tersebut dicapai sebulat suara dalam satu mesyuarat khas FAP yang diadakan, semalam.

“Keputusan drastik ini diambil setelah menilai kesemua aspek prestasi semasa dan demi memperbaiki cabaran pasukan dalam baki saingan Liga Premier 2019.

“Hj Ahmad Yusoff telah dimaklumkan tentang keputusan ini,” kata Dr Amar.

Sebagai rekod, skuad berkenaan kini menghuni kedudukan kesembilan dalam Liga Perdana 2019 selepas mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.

Dalam pada itu, Ahmad Yusoff merupakan jurulatih ketiga yang ‘direhatkan’ serta merta pada musim ini selepas Mohd Fauzi Pilus yang mengemudi Polis Diraja Malaysia dan Mohd Farhan Abdullah (Sarawak) turut mengalami nasib yang sama susulan prestasi kurang memberangsangkan dalam pasukan masing-masing – BERNAMA

Foto Kredit: Pulau Pinang FA