Karisma Kepimpinan Reuben Terserlah

 

Karisma kepimpinannya selaku kapten pasukan didalam padang disamping kejayaan menjaringkan gol  penyamaan sudah cukup untuk menobatkan K.Reuben selaku wira UKM dalam perlawanan akhir Liga IPT 2012 Piala Menteri Pengajian Tinggi.

Pemain pertahanan ATM yang bermain sebagai penyerang pada malam tersebut nyata menunjukkan aksi terpuji dengan hampir setiap masa dirinya mengejar bola tanpa rasa penat dan lelah.

Lebih mengagumkan, Reuben berjaya membangkitkan semangat rakan-rakan sepasukan walaupun satu ketika UKM hampir pasti sudah tertewas kepada KK Kedah.

“2 tahun lepas, ramai diantara pemain kami yang merasai kekecewaan tewas diperingkat final. Malam ini, kami sudah bertekad untuk melakukan aksi terbaik” jelas Reuben yang ditemui selepas perlawanan.

“Pengalaman bermain dengan ATM nyata membantu saya menghadapi situasi getir sebegini. Mujur sepakan percuma saya berjaya disempurnakan walaupun KK Kedah meletakkan semua pemain dibenteng ketika itu” kata Reuben lagi.

Reuben Meraikan Gol Penyamaan UKM

 

Reuben juga menjelaskan kemenangan UKM ini nyata lebih manis berbanding menjadi naib juara Piala Malaysia bersama ATM.

“Tidak dinafikan beraksi di pentas final Piala Malaysia merupakan pengalaman yang paling berharga saya perolehi sebagai seorang pemain bolasepak. Namun kejayaan malam ini sedikit istimewa lebih-lebih lagi setelah 3 tahun mencuba, akhirnya UKM berjaya juga bergelar juara” jelas Reuben sebelum menutup perbualan.

UKM bergelar juara Liga IPT 2012 selepas menewaskan KK Kedah dengan jaringan 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.