Ahmad Fuad ternyata jaguh di Kluang

 

Ahmad Fuad Baharudin tidak mensia-siakan pengalaman selama 15 tahun beraksi sebagai pelumba profesional apabila muncul juara kategori CP130 pada perlumbaan Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2012 di Litar Kluang, Johor, hari ini.

Dikenali sebagai litar yang begitu teknikal di dalam kalendar kejuaraan Cub Prix, pelumba Faito Motobert Racing itu terpaksa mengerah segala kudrat dan pengalaman untuk menangkis asakan demi asakan daripada Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) sebelum berjaya menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan masa keseluruhan 12:01.586s. Azlan akur di kedudukan kedua, 0.527s di belakang Fuad manakala Mohd Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor) ketiga, 12:02.319s.

“Litar ini tidak begitu mementingkan kepantasan jentera, sebaliknya lebih kepada penggunaan kotak gear dan juga sistem saspensi jentera yang sesuai dengan permukaan litar dan juga gaya tunggangan saya sendiri. Selekoh di sini agak sempit dan ada diantaranya tidak begitu rata serta beralun. Malah terdapat juga laluan mendaki dan menuruni bukit di litar ini, sedikit berbeza dengan litar-litar lain.

Azlan Shah dan Zaqhwan Zaidi mengekori rapat Ahmad Fuad

 

“Dengan pengalaman yang ada, saya tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan pelarasan jentera yang terbaik. Walaupun gagal mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa semalam, pada ketika itu kotak gear dan sistem saspensi jentera saya sudah cukup sempurna. Dari situ timbul keyakinan dalam diri yang mana saya rasa mampu untuk mengulangi kejayaan yang saya lakukan pada tahun 2010 di litar ini,” jelas Fuad yang kini naik ke tangga kedua dalam senarai keseluruhan pelumba CP130 dengan 97 mata, memintas rakan sepasukan, Ahmad Fazrul Sham yang turun ke tangga ketiga dengan 91 mata.

Sementara itu, walaupun kekal mendahului kedudukan setelah mengumpul 120 mata, Azlan jelas agak kecewa kerana gagal muncul juara walaupun berjaya mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa, semalam.

“Saya gembira kerana berjaya mencapai hasrat untuk terus kekal di tangga teratas, namun pada masa sama saya agak kecewa kerana gagal untuk mencari gelaran juara kedua pada musim ini. Walaupun beberapa kali saya mencuba untuk memintas Fuad, namun dia berjaya menutup ruang dengan baik. Jelas pengalaman yang ada pada Fuad membezakan keupayaan kami di litar yang cukup teknikal ini. Kini saya meletakkan sasaran untuk mencari kemenangan pada pusingan kelapan di Melaka nanti,” jelas Azlan.

CKJ Yamaha Racing Dapat Kemenangan 1-2

 

Sementara itu, pasukan CKJ Yamaha Racing mencatat kemenangan bergaya setelah Shariffudin Shamsudin dan Ahmad  Afif Amran mencatat kemenangan 1-2 dalam saingan kategori CP 115.

Sharifuddin melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 9:48.636s dan Afif sekadar 0.337s di belakang manakala tempat ketiga menjadi milik Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) ketiga, 9:49.421s.

“Memang saya dan Afif ada mengatur strategi untuk saling membantu jika salah seorang diantara kami berdua berada di hadapan dan kami cukup gembira kerana apa yang dirancang menjadi kenyataan. Selepas berjaya melepasi Adib yang pada satu ketika berada di hadapan, saya hanya memberi tumpuan untuk kekal di hadapan sehingga ke garisan penamat. Apa yang lebih menggembirakan, kerja keras saya sepanjang tempoh rehat dua bulan ini berjaya menghadiahkan kemenangan yang sudah lama saya nanti-nantikan. Terima kasih kepada pasukan dan kaum keluarga yang terus memberikan sokongan kepada saya selama ini.”

Keputusan ini bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) sebagai pendahulu keseluruhan setelah mengumpul 101 mata, diikuti Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) kedua, 93 mata dan Ahmad Abdul Kadir (Apido Yamaha Boon Kui Racing) ketiga, 88 mata.

Dalam kategori Wira, pelumba AAP Mazoil Armstrong Motorsport, Fakhrusy Syakirin Rostam meraih kemenangan keempat pada musim ini dengan mengetepikan cabaran pendahulu keseluruhan, Mohd Hafiz Nor Azman dari pasukan Team Mos Track Pro Yamaha Racing.

Fakhrusy melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 8:08.685s, 4.048s di hadapan Hafiz manakala Tengku Amirul Haffiruddin di tempat ketiga, 8:19.374s.

“Perlumbaan tadi agak mudah bagi saya kerana setelah berjaya mendahului kedudukan sebaik melepasi selekoh pertama pada pusingan pertama, saya hanya bersendirian di hadapan manakala beberapa pelumba lain bersaing agak rapat untuk berada di kedudukan kedua. Dengan kemenangan ini saya dapat merapatkan jurang mata dengan Hafiz dan meletakkan sasaran untuk mencatat kemenangan pada perlumbaan akan datang,” jelas Fakhrusy.

Hafiz kekal di tangga teratas keseluruhan dengan mengumpul 139 mata, hanya enam mata mendahului Fakhrusy manakala Tengku Amirul ketiga, 78 mata.