Connect with:




Kempen skuad kriket kebangsaan dalam saingan Liga Kriket Dunia Divisyen 3 sememangnya berlangsung dengan penuh dramatik.

Mereka memulakan langkah kanan dalam dua perlawanan awal – menang ke atas Uganda dan Vanuatu.

Bagaimanapun segalanya berubah pada perlawanan ketiga. Tewas kepada Denmark dan Jersey seakan-akan membawa Malaysia untuk tersingkir ke divisyen 5.

Perlawanan terakhir menentang Bermuda yang dilangsungkan pada Sabtu menjadi taruhan. Ketika Denmark tewas kepada Vanuatu pada perlawanan terakhir mereka, aksi Bermuda-Malaysia dan Jersey-Uganda terpaksa ditunda ke Ahad selepas cuaca buruk yang menghalang aksi diteruskan.

Ia seterusnya membuka kembali ruang untuk Malaysia menghidupkan peluang layak kembali ke divisyen 3. Kemenangan Uganda ke atas Jersey di UKM mengesahkan kejuaraan untuk pasukan dari Afrika itu. Jersey pula menggigit jari untuk mara ke divisyen ketiga.

Situasi ini memberi peluang buat Malaysia yang masih belum menghabiskan perlawanan di Kinrara. Malaysia yang memilih untuk memukul dahulu berjaya membuat 257 larian. Untuk menduduki tangga kedua dan layak ke divisyen ketiga, mereka perlu memastikan Bermuda mengutip kurang dari 164 larian. Jika tidak, Denmark akan mara berdasarkan perbezaan jumlah mata selepas berkongsi mata.

Harapan Malaysia akhirnya berkecai di saat Steven Bremar mendapat larian ke 164. Malaysia bagaimanapun berjaya menewaskan Bermuda menerusi 89 larian namun ia tidak dapat menghalang Denmark berada di tangga kedua.

Ia pastinya mengecewakan buat skuad negara yang mensasarkan berada di dua tangga teratas. Malaysia terus kekal di divisyen 4 bersama Jersey sementara Vanuatu dan Bermuda tersingkir ke divisyen 5.