Connect with:




Masih banyak pengalaman serta pendedahan harus diberikan kepada pengadil tempatan agar Konfederasi Bola Sepak Asia  (AFC) boleh memberikan mereka peluang untuk mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa yang jauh lebih mencabar.

Setiausaha Agung AFC, Windsor Paul John memberitahu jika tiada pendedahan betul yang diberikan kepada pengadil tempatan, kemungkinan untuk mereka terlepas peluang mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa adalah sangat tipis.

“Saya tidak mengatakan keputusan membawa pengadil luar khusus untuk beberapa perlawanan bukan satu perkara yang tidak baik.

“Jika ianya memberi impak baik kepada bola sepak Malaysia, itu terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membuat kata putus,” katanya yang ditemui pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian di antara AFC dengan DDMC Fortis Limited.

Beliau yang mengulas mengenai hajat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang merancang untuk membawa masuk pengadil dari luar negara bagi mengadili perlawanan penting Liga Malaysia (Liga-M).

Semalam, Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi akaun Twitter rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor, mengumumkan MFL bakal mewujudkan Badan Bebas Pengadil bermula musim hadapan bagi menggunakan kepakaran luar dalam usaha mempertingkatkan standard pengadil tempatan ekoran kontroversi panas yang melibatkan pengadil perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia 2018, Sabtu lalu.

Windsor memberitahu bahawa AFC turut menggunakan khidmat pengadil luar dari Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah, dan Carribean (CONCACAF) namun ianya lebih kearah kerjasama melibatkan program pertukaran.

“Ianya suatu pertukaran yang memberi manfaat kepada pegawai kita, contohnya ada pegawai dari CONCACAF datang mengadili perlawanan di Asia maka pegawai kita juga akan ke pertandingan CONCACAF, ianya bertujuan untuk pegawai kita menimba ilmu,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Windsor turut mengulas mengenai perjanjian di antara AFC dengan DDMC Fortis Limited. DDMC Fortis Limited menjadi agensi eksklusif menjaga hak komersial dan penyiaran bagi pertandingan dibawah kelolaan AFC bagi tempoh 2021-2028 sepertimana yang dipersetujui oleh mesyuarat Exco yang berlangsung di Moscow 11 Jun lalu.

Menerusi perjanjian tersebut, pihak DDMC akan mempunyai hak komersial dan penyiaran untuk semua pertandingan peringkat kelab dan antarabangsa di bawah AFC. Kejohanan seperti Piala Asia, Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan kelayakan Piala Dunia Rantau Asia kecuali zon timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

“Fortis berpengalaman dalam mengendalikan pertandingan dengan adanya pegawai-pegawai berpengalaman yang bertanggungjawab mewujudkan Liga Juara-Juara UEFA sementara pihak DDMC pula memberikan bantuan dari segi kewangan dan kita lihat ia satu pakej yang rugi untuk dilepaskan.

“Diharapkan perjanjian ini mampu AFC ke satu tahap baru yang lebih tinggi dan semoga ianya menjadi permulaan baharu buat AFC mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan. Tawaran ini datang tepat pada waktunya disaat perjanjian sedia ada dengan Lagardere Sports and Entertainment akan berakhir pada tahun 2020,” ujarnya lagi.

Terdahulu telah berlangsung majlis menandatangani perjanjian tersebut yang melibatkan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Pengerusi DDMC Fortis, Dr Yi Rentao.

 

Foto : Facebook Asian Football Confederation

Sumber : Bernama