Dua orang pendatang baru ke Piala Monsun membuat kejutan apabila mendahului pada hari pertama pusingan kelayakan kejohanan penutup musim siri Jelajah Dunia Match Racing ALPARI itu.

‘Skipper’ Vannes Agglo Sailing Team, Pierre-Antoine Morvan mengejutkan dua orang pelayar berpengalaman Sweden, Bjorn Hansen dan Johnie Berntsson apabila mencatatkan kemenangan ke atas kedua-dua mereka di sesi sebelah pagi.

Perlawanan di antara Morvan dan Berntsson ialah yang paling sengit hari ini apabila empat kali kedudukan pendahulu perlumbaan bertukar namun fokus yang baik oleh pasukan dari Perancis itu menyaksikan mereka berjaya mencipta kemenangan ke atas Berntsson.

Hansen pula yang kehilangan fokus apabila dikenakan penalti ketika bertemu dengan Peter Gilmour gagal untuk bangkit ketika bertemu Morvan. Kekalahannya menyaksikan dia mengakhiri pertandingan hari ini dengan rekod 0-2.

Namun Peter Gilmour gagal untuk meneruskan rentak kemenangan apabila beliau tewas di tangan Berntsson dalam dalam perlawanan mereka di ‘flight’ kedua.

Sementara itu ‘skipper’ US One Sailing Team, Taylor Canfield mencipta kemenangan ketika bertemu dua pasukan yang menyertai Piala Monsun melalui pusingan kelayakan iaitu Team Gilmour yang di terajui oleh David Gilmour dan johan Sirkit ‘Match-Racing’ Malaysia (MMRC), Jeremy Koo.

Jeremy bermula dengan baik ketika bertemu Canfield apabila meninggalkan pelayar dari Amerika Syarikat itu dengan jarak lapan bot tetapi kegagalan beliau membaca dengan baik arah angin dan arus membolehkan Canfield merapatkan kedudukan sebelum memintasnya.

Dalam perlawanan keduanya menentang juara WMRT 2009 Adam Minoprio, Jeremy gagal melepasi halangan yang dilakukan oleh ‘skipper’ ALPARI Racing Team itu menyaksikan Minoprio mencatatkan kemenangan pertama di Piala Monsun selepas beliau tewas kepada David Gilmour dalam perlawanan pertama.

Namun Jeremy percaya dengan persediaan yang dilakukan bersama pasukannya yang baru sahaja menjuarai MMRC minggu lepas mereka mampu mencabar untuk mencari mata pertama dalam kejohanan Piala Monsun ini.

Ketiadaan angin di muara Sungai Terengganu menyaksikan tiada perlawanan dapat dijalankan di waktu petang menyebabkan beberapa orang ‘skipper’ lain tidak dapat turun beraksi termasuklah juara bertahan AWMRT Ian Williams, Keith Swinton, Laurie Jurie dan Phil Robertson.