SUNGAI PETANI – Pemain golf professional negara, Shaifubari Muda menamatkan kemarau kemenangan selama 7 tahun apabila berjaya menjuarai Kejohanan Golf Jelajah PGM Sime Darby-Harvard 2012 di Kelab Golf Harvard Sungai Petani Kedah hari ini.

Shaifubari, 39 tahun yang kali terakhir memenangi kejohanan golf Sime Darby Master pada tahun 2005 di Kelab Golf Kuala Lumpur kelihatan terharu dengan kejayaan yang diperolehi dan secara spontan melakukan sujud syukur diatas green apabila selesai melakukan putting terakhirnya untuk mengesahkan kejuaraan beliau.

Bermula dengan 3 pukulan di hadapan pada hari terakhir kejohanan, Shaifubari ternyata tenang dan konsisten dalam permainannya walaupun diberi saingan sengit oleh seorang lagi pemain golf senior negara S. Murthy.

4 birdies pada 9 lubang pertama, telah cukup buat Shaifubari untuk mendahului dengan 5 pukulan dihadapan, namun kebangkitan S. Murthy pada 9 lubang kedua memberi tekanan kepada Shaifubari. Pengalaman dan ketenangan mental ternyata teruji, namun Shaifubari bijak menyerap segala tekanan untuk mempertahankan kedudukan beliau sehingga tamat permaianan.

“Kejayaan ini sungguh bermakna buat saya dan saya bersyukur kepada Allah kerana memperkenankan segala doa-doa saya. Sudah pasti kejayaan ini ingin saya kongsikan bersama dengan isteri kesayangan saya dan semua warga Kelab Golf Saujana Subang yang selama ini menyokong karier saya,” ujar Shaifubari ketika ditemui selepas kejohanan.

Shaifubari menamatkan permainan dengan catatan 273 pukulan, 15 dibawah par untuk meraih wang kemenangan berjumlah RM21,000.00 dalam siri Jelajah pertama 2012 anjuran Professional Golf Malaysia (PGM).

Sementara itu S. Murthy meraih tempat kedua dengan catatan 275, 2 pukulan di belakang Shaifubari dan tempat ketiga dikongsi oleh Danny Chia dan Wilson Choo dengan catatan 281 pukulan.

Siri Jelajah Golf PGM kedua akan diadakan di Kelab Golf Putra  yang akan berlangsung pada 8-12 Februari depan.

KEPUTUSAN PENUH :-

273     – Shaifubari Muda (68-66-70-69)

275     – S. Murthy (68-69-70-68)

280     – Wilson Choo (67-72-73-68), Danny Chia (69-70-71-70)

281     – Airil Rizman Zahari (71-70-74-66)

Md Rashid Ismail (70-73-69-69)

S. Sivachandhran (74-67-69-71)

Mohd Amli Mohiyadeen (67-69-72-73)

282   – Solhairy Sharif (70-71-74-67)

R. Nachimuthu (72-70-71-69)

284     – Mohd Rizal Amin (71-74-72-67)