Connect with:




Penang Black Panthers muncul juara Sepaktakraw League (STL) Champions Cup 2018 setelah membenam ATM Guardians dalam aksi final yang berlangsung sengit di Gem In Mall, Cyberjaya pada Ahad.

Kejayaan itu menyaksikan Penang Black Panthers mempertahankan kejuaraan buat musim kedua berturut-turut sekaligus melengkapkan kejuaraan berganda setelah terdahulu memenangi kejuaraan STL Premier pada bulan lalu.

Dalam aksi final yang menemukan dua pasukan terbaik STL Premier itu, ianya ATM Guardians yang terlebih dahulu bermula dengan langkah kanan apabila regu Hairul Hazizi Haidzir-Norfaizzul Razak-Khairudin Adenan melakar kemenangan 21-17 pada set pertama.

Tidak cepat melatah, Penang Black Panthers diperkuatkan tekong kebangsaan Syahir Rosdi yang bergandingan dengan perejam dari Thailand Aekkasit Naphom dan Zaim Razali bangkit dengan permainan lebih kemas untuk menang set kedua 21-17 seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pertarungan sengit antara kedua-dua pasukan dinoktahkan dengan Penang Black Panthers melakar kemenangan 21-19 dan sekaligus menafikan impian besar ATM Guardians untuk mencari penawar duka.

Selaku juara, Penang Black Panthers memenangi trofi dan hadiah wang tunai RM25,000 manakala ATM Guardians pula membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.

Lebih manis buat Penang Black Panthers, Syahir dinobatkan sebagai Tekong Terbaik dan juga Pemain Paling Bernilai STL Champions Cup.

Jurulatih Penang Black Panthers, Helmi Ismail berkata, “Sebenarnya saya tidak menjangka kita dapat mengulangi gelaran berganda sekali lagi, kerana kita tahu intensiti saingan sememangnya cukup tinggi semua pasukan datang dengan persiapan rapi dan sasaran awal kita hanya separuh akhir.

“Namun syukur kita ke final dan kemudian berjaya bangkit selepas tewas set pertama. Mungkin hari ini Syahir tidak berada pada tahap prestasi terbaiknya dengan kita juga banyak melepaskan mata menerusi servis yang tidak begitu menjadi tetapi kita beraksi baik ketika bertahan dan itu yang membezakan antara kami dan ATM Guardians.”

Manakala Aswadi Abdullah pula menganggap pasukannya telah melakukan sesuatu yang di luar jangkaan musim ini dengan muncul naib juara berganda.

“Memang kecewa untuk kalah tetapi mengambil kira prestasi sepanjang musim, konsistensi yang telah ditunjukkan dan peningkatan mendadak pasukan ini, ia adalah satu pencapaian yang perlu dikagumi. Saya pada mulanya sasarkan untuk sekadar layak ke STL Champions Cup tetapi kita mara sehingga ke final,” kata Aswadi.

Sementara itu, Negeri Sembilan Antlers pula menyambar kedudukan ketiga setelah mudah membenam cabaran Kelantan Warriors dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Regu Niphat Wongprasoet-Syazreenqamar Salehan-Hafizul Hayazi Adnan memacu juara STL Divisyen Satu itu melakar kemenangan 21-17, 21-8 sekaligus pulang dengan hadiah wang tunai RM7,000.

Hafizul Hayazi turut dinobatkan sebagai apit kanan terbaik.

Senarai Pemenang STL Champions Cup

Juara : Penang Black Panthers (RM25,000)

Naib juara : ATM Guardians (RM15,000)

Ketiga : Negeri Sembilan Antlers (RM7,000)

Keempat : Kelantan Warriors (RM5,000)

Tekong Terbaik : Syahir Rosdi (Penang Black Panthers)

Apit Kanan Terbaik : Hafizul Hayazi Adnan (Negeri Sembilan Antlers)

Apit Kiri Terbaik : Aidil Aiman Azwawi (Kelantan Warriors)

Pemain Paling Bernilai : Syahir Rosdi (Penang Black Panthers)