Majlis Sidang Akhbar Malaysian Open KL 2012 dihadiri oleh Nick Freyer (Pengarah Kejohanan), Ian Barrow (Pengurus Besar Doubletree Hilton KL) dan Ibrahim Yusuf Abu Bakar (Setiausaha Kehormat LTAM)

 

Kejohanan tenis Malaysia Open 2012 yang disertai pemain – pemain ternama dunia pastinya akan menjanjikan aksi yang lebih sengit dan menarik dengan adanya penambahbaikan Stadium Putra Bukit Jalil sebagai venue kejohanan.

Menurut pengarah kejohanan, Nick Freyer dari IMG, selain keadaan bumbung stadium yang dinaiktaraf, kejohanan juga akan menggunakan permukaan gelanggang yang lebih neutral seperti edisi pertama.

“Tahun lepas, pergerakan bola terlampau laju akibat permukaan gelanggang yang kurang kasar. Lalu kami memutuskan untuk menggunakan permukaan yang lebih neutral dan pastinya ini akan menghasilkan aksi terbaik untuk setiap perlawanan”  tambahnya lagi.

Antara pemain antarabangsa yang akan beraksi ialah pemain ranking ke-5 dunia, David Ferrer , Juan Monaco (12), Kei Nishikori (18) serta jagoan Amerika Syarikat, Bryan Becker yang kembali dari kecederaan panjang. Selain itu, kejutan dijangka berlaku dengan beberapa pemain ternama dunia akan terpilih dalam senarai pemain wildcard.

Freyer ditemui ketika hadir di acara Malaysia Open Media Hunt di Hotel Doubletree, Kuala Lumpur yang juga bertindak sebagai penginapan rasmi kejohanan. Beberapa acara kebajikan turut diadakan di Hotel DoubleTree bersempena kejohanan ini seperti “Baked With Care” dimana pemain-pemain tenis terkenal ini akan menghasilkan sendiri biskut untuk dijual.

Kejohanan akan bermula pada 22-30 September ini dan peminat tennis tempatan berpeluang untuk memenangi hadiah dengan melayari laman facebook kejohanan di  https://www.facebook.com/MalaysianOpen.KualaLumpur