Connect with:




Masih segar dengan kejayaan meraih gelaran juara Eropah bagi saingan Formula 3 Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) di Hockenheimring, Jerman, minggu lalu, anak kepada lagenda Formula Satu (F1), Micheal Schumacher iaitu Mick Schumacher mengakui  belum memiliki sebarang perancangan untuk menyertai arena F1.

Pelumba berusia 19 tahun itu sebaliknya menyatakan akan membuat pengumuman mengenai hala tuju sebenarnya dalam tempoh beberapa minggu lagi namun kejayaan di Jerman pastinya memberi harapan besar buat peminat F1 untuk melihat kembali legasi lagenda Schumacher beraksi di litar F1.

Diawal musim Mick tampak ‘lambat panas’ dalam mencari rentak kemenangan sebelum mula beraksi cemerlang untuk meraih lapan kemenangan dalam enam pusingan terakhir untuk mengesahkan gelaran juara dengan kelebihan 57 mata mengatasi pelumba muda Red Bull, Dan Ticktum.

“Sudahkah saya sedia untuk saingan F1 ? Saya fikir saya lebih gemar bermula dari bawah, naik secara berperingkat dengan melakukan persediaan yang sangat rapi terlebih dahulu.

“Dalam membuat keputusan, ianya amat penting untuk membuat keputusan yang tepat beri saya sedikit masa dan dalam beberapa minggu kami akan membuat keputusan,” jelas Mick.

Sebelum itu Mick turut menambah bahawa setiap pelumba mengimpikan untuk menjadi pemandu F1, satu kelas perdana dan berdiri seiring pelumba-pelumba besar pada saingan tersebut, ianya sebuah penghormatan.

 

Sumber : Mail Online

Foto : Fi.com