Connect with:




Seluruh peminat bola sepak dunia berdukacita selepas kita dikejutkan dengan berita tragis pemergian jutawan Thailand ternama yang juga merupakan pemilik Leicester City Fc, Vichai Srivaddhanaprabha serta dua anggota kakitangannya, seorang juruterbang dan seorang lagi pembantu juruterbang dalam kemalangan helikopter di perkarangan King Power stadium, England.

Dalam pada itu, saksi-saksi berkata, helikopter yang baru sahaja berlepas dari stadium itu dilihat hilang kewalan sebelum ia terhempas dan meletup seterusnya terbakar.

Vichai dan beberapa anggota yang lain sebelum menaiki helikopter berkenaan

Salah seorang saksi memberitahu media United Kingdom bahawa dia melihat enjin helikopter mengeluarkan bunyi bising sebelum berhenti dan kelihatan berputar diudara.

Pihak polis mengesahkan anggota yang terbunuh dalam kemalangan tersebut:-

Pemilik Leicester: Vichai Srivaddhanaprabha

Dua ahli kakitangannya: Nursara Suknamai dan Kaveporn Punpare

Juruterbang: Eric Swaffer

Pembantu juruterbang: Izabela Roza Lechowicz

Helikopter yang berkecai akibat terhempas dan terbakar.

Dua Juruterbang  Profesional

Tahukah anda, juruterbang mereka, Eric Swaffer mempunyai lebih 20 tahun pengalaman sebagai juruterbang pesawat peribadi atau helikopter. Bukan itu sahaja, Izabela Lechowicz selaku pembantu juruterbang yang berasal dari Poland juga seorang yang hebat dan merupakan pemenang pertandingan #Polka100 iaitu kempen yang mengangkat wanita di negara tersebut.

Kerjaya Eric termasuklah dia pernah menjadi juruterbang helikopter untuk penyiaran media secara langsung iaitu The Big Breakfast Channel 4 dan helikopter lalu lintas Virgin Radio. Selain menjadi juruterbang dia juga dipilih selaku jurulatih dan Penguji JAA (Pihak Berkuasa Penerbangan Bersama) untuk beberapa jenis pesawat dan helikopter.

Pemilik Leicester Disayangi Ramai

Jutawan Thailand, Srivaddhanaprabha, yang berusia 60 tahun ini mempunyai empat orang anak dan seroang isteri. Beliau telah membeli Leicester City dengan harga £ 39 juta pada tahun 2010.

Sepanjang Leicester di bawah kendaliannya, kelab berkenaan banyak mencipta kejayaan seperti memenangi Liga Perdana pada 2016.

Dalam satu kenyataan, Leicester City turut menzahirkan rasa simpati dan salam takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Kelab itu menyifatkan Srivaddhanaprabha sebagai “seorang lelaki yang baik, sentiasa bermurah hati dan sememamangya disayangi olah penyokong kelab.

“Leicester City diibaratkan sebagai keluarga di bawah pimpinannya dan sebagai sebuah keluarga, kami amat berduka atas pemergian Vichai. Kami akan mengekalkan visi untuk kelab yang kini menjadi sebahagian daripada legasinya,” tambahnya.

Vichai yang melabur berjuta-juta pound sterling untuk kelab berkenaan, kerap kali menaiki helikopternya apabila menyaksikan perlawanan Leicester City di tempat sendiri.

Sementara itu, perlawanan seterusnya menentang Southampton dalam Piala EFL, yang dijadualkan pada petang Selasa, ditangguhkan bagi menghormati mendiang.