Liga Malaysia 2012 bakal membuka tirainya dengan perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 7 Januari 2012. Perlawanan yang melibatkan pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan itu akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke 4, selaras dengan persetujuan keputusan jawatankuasa pertandingan.

Naib Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM dipetik berkata, “Pemilihan Stadium Sultan Muhammad ke 4 adalah selaras dengan keputusan jawatankuasa yang telah menetapkan tuan rumah bagi perlawanan sumbangsih ini ialah juara Liga Super. Hasil daripada kutipan tiket juga akan disumbangkan kepada badan kebajikan. Jadi, usaha murni ini seharusnya disokong oleh semua pihak.”

Perlawanan piala sumbangsih ini juga tidak akan memberikan impak terhadap pengiraan markah Liga Super, seperti yang pernah dipraktikkan sebelum ini. Beberapa pembaharuan juga akan dilakukan bagi menghangatkan lagi kancah Liga Malaysia, contohnya wang kemenangan.

“Wang kemenangan akan ditambah dengan kenaikan lebih 50 peratus. Sebagai contoh, juara Liga Super akan memenangi RM 750 ribu, dan pemenang Liga Premier akan memenangi RM300 ribu. Selain itu, wang insentif juga akan diberikan seperti yang telah dimulakan pelaksanaannya sejak tahun ini. Wang insentif itu bergantung kepada posisi akhir sesuatu pasukan itu dalam liga apabila musim tamat. Geran juga akan diberikan seperti biasa. Jadi, saya berharap perkara ini dapat menaikkan semangatsemua pasukan yang bertanding”, ujar Dato’ Hamidin.

Dato’ Hamidin bercakap pada sidang media yang diadakan selepas Majlis Undian dan Taklimat Liga Malaysia 2012, yang diadakan di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam, tengah hari semalam. Undian Liga Super, Liga Premier, dan Piala FA bagi musim 2012 telah diadakan di sana, serta tarikh jangkaan permulaan perlawanan bagi pertandingan tersebut.

Kancah Liga Premier bakal bermula pada 9 Januari 2012, diikuti Liga Super pada 10 Januari. Piala FA dan Piala Malaysia juga dijangka bermula pada 18 Februari 2012 dan 25 Ogos 2012.

Di samping itu, Dato’ Hamidin Mohd Amin juga turut menjelaskan, kemasukan pasukan Lions XII seharusnya dipandang dari sudut yang positif.

“Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM) telah menandatangani perjanjian persefahaman(MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Singapura(FAS), dan intipati perjanjian ini bukanlah setakat kepada pertukaran pasukan ke dalam liga masing-masing. Sebagai contoh, ada faedah-faedah lain yang akan dapat diperoleh. Para pengadil kita akan diberi peluang mengadili perlawanan Liga Singapura dan sebaliknya. Pasukan remaja kebangsaan kita juga akan diberi peluang mengadakan siri perlawanan dengan pasukan remaja di Singapura. Kita juga akan mengembalikan “National Series” di antara pasukan Malaysia dan pasukan Singapura, yang dijangka akan berlangsung pada Julai hadapan.”

Majlis ini turut dihadiri Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura(FAS), Winton Lee dan jurulatih pasukan Lions XII, V. Sundramoorthy.