Shah Alam: Datuk Ong Kim Swee mengakui skuad bawah 22 tahun negara masih belum mencapai prestasi yang terbaik meskipun berjaya mengikat skuad Liga Super Felda United 1-1 kelmarin.

Ketua Jurulatih itu tidak berpuas hati dengan kesilapan yang sering dilakukan oleh para pemain.

“Memang jelas gol yang kami bolosi berdasarkan kesilapan dari kecuaian sendiri kerana melakukan hantaran kebelakang tidak tepat”.

“Kecuaian pemain telah mengakibatkan pihak lawan mengambil peluang untuk menyamakan kedudukan,” ujarnya.

Kim Swee berkata, tindakan lalai pemain dengan membuat hantaran ke belakang itu tidak sepatutnya berlaku sebagai pemain profesional.

Skuad negara bermain dengan baik apabila mendahului hasil tandukkan N Thanabalan pada minit ketiga.

Bagaimanapun Augusto Fernandes menyamakan kedudukan pada minit ke-21 menerusi sepakan percuma.

Skuad B-22 negara memikul tugas besar untuk mengulangi pingat emas Sukan SEA selepas kali terakhir memperolehi pada 2011 di Jakarta.

Mereka akan berdepan dengan tiga pasukan persahabatan di China bagi bersedia untuk pusingan kelayakan Kejohanan B-23 AFC di Bangkok bulan depan.