Connect with:




Menggunakan objek tajam seterusnya menoreh pemain lawan sebelum sepak mula.

Itulah yang dilakukan pemain tengah kelab bola sepak Turki Amed SK, Mansur Calar selepas kelab lawan, Sakaryaspor melaporkan beberapa pemainnya mengalami kecederaan akibat ditoreh oleh pemain berkenaan.

Dalam kejadian yang berlangsung di Stadium Diyarbakır itu, Calar kelihatan menyembunyikan objek tajam (mata pisau cukur) di tangannya semasa bersalaman sebelum aksi berlangsung.

Sebaik sahaja perlawanan bermula, dia didakwa menggunakan objek tajam berkenaan kepada pemain Sakaryaspor selain cuba menarik pemain Sakaryaspor di bahagian leher.

Rakaman daripada televisyen tempatan, TV264 turut menyaksikan pemain pertahanan lawan Ferhat Yazgan dikasari selepas Calar mengambil kesempatan untuk memukulnya ketika dia memandang ke arah lain.

Aksi kedua-dua pemain tersebut berpanjangan sehingga mereka dilayangkan kad merah.

Dalam pada itu, Yazgan telah memuat naik gambar kecederaan yang dialaminya ketika ‘serangan’ di laman Instagramnya selepas perlawanan.

Laporan polis telah dikemukakan Sakaryaspor dan mereka juga mendakwa pengadil gagal menjalankan tugas ketika serangan berlaku.

” Kami membawa pemain-pemain ke hospital dan ternyata mereka mengalami luka akibat daripada objek tajam.

“Ini tidak boleh diterima dan ia telah pun diserahkan kepada muka keadilan,” ujar kenyataan Sakaryaspor.

Amed SK bagaimanapun membuat kenyataan bahawa dakwaan Sakaryaspor itu ‘bukan seperti realiti’.

Difahamkan, kedua-dua kelab saling bermusuhan sejak awal musim ini kerana konflik fahaman politik.