Connect with:




Sokongan padu dari  ‘pemain ke-12’ yang merupakan peminat hoki tanah air mampu meningkatkan semangat serta keyakinan skuad hoki negara  bagi mengharungi temasya Piala Dunia 2018 yang akan bermula Rabu ini hingga 16 Disember di Bhubaneswar, India.

Berada dalam Kumpulan D yang dianggap ‘kumpulan maut’, Malaysian Tigers yang kini di ranking 12 dunia bakal berdepan tiga bekas juara yang terdiri dari finalis empat tahun lalu, Belanda yang kini di ranking 4 dunia, Jerman (ranking 6 dunia) dan Pakistan yang kini di ranking 13 dunia.

Membawa misi mencapai sasaran untuk berada pada kelompok 10 terbaik dunia, barisan kejurulatihan diketuai Roelant Oltmans selaku ketua jurulatih dan para pemain tampak yakin mampu meloloskan diri dari halangan di peringkat kumpulan meskipun laluan berliku menanti mereka.

Keadaan itu mendorong kapten pasukan negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib untuk menyeru semua peminat hoki tanah air termasuk mereka yang tidak pernah mengikuti sukan ini untuk turut memberi sokongan serta berdiri di belakang pasukan dan mendoakan kejayaan mereka sepanjang kempen Piala Dunia 2018.

“Ada masa disanjung ada masa dikritik dan ianya satu perkara normal untuk dikritik apabila mengalami kekalahan. Bagi saya sebagai pemain, kami perlu ada karakter yang kuat untuk menerima hakikat itu.

“Bagi peminat yang kurang melihat hoki, cukup dengan menyokong dan mendoakan kejayaan kami, ianya sudah cukup bermakna buat kami. Harapan saya agar semua penyokong sentiasa berdiri di belakang kami kerana kami perlukan sokongan peminat tidak kira sama ada kami di atas atau di bawah,” jelasnya.

Kejayaan menumbangkan pasukan di ranking 9 dunia, New Zealand dengan keputusan 4-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu memberi gambaran bahawa Malaysian Tigers kini berada pada prestasi terbaik bagi mengharungi saingan Piala Dunia 2018.

Bakal memulakan kempen Kumpulan D bertemu Belanda di Stadium Kalinga pada 1 Disember, diikuti Pakistan (5 Disember) dan Jerman (9 Disember), skuad negara telah pun berlepas ke Bhubaneswar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) malam tadi.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysian Tigers menundukkan Belanda adalah pada Piala Dunia 1975 dengan keputusan 2-1 dan dalam pertembungan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan adalah ketika Malaysia tunduk 3-1 pada saingan Trofi Juara-Juara 2007 di tangan gergasi Eropah itu.

 

Foto : Facebook Malaysian Hockey Federation

Sumber : Bernama