Connect with:




Semua warganegara lelaki Singapura yang berusia 18 tahun ke atas harus menyertai latihan Khidmat Negara selama dua tahun kecuali mereka mendapat pengecualian.

Namun, pemain bola sepak warga Singapura, Ben Davis,18 yang mengikat kontrak dengan Liga Perdana Inggeris enggan menjalani latihan Khidmat Negara sekaligus berdepan risiko tiga tahun penjara, kata Menteri Pertahanan negara itu, semalam.

Davis menandatangani kontrak dua tahun dengan kelab yang berpengkalan di London, Fulham B-18 seterusnya melakar sejarah menjadi pemain pertama dari negara Asia Tenggara menyertai kelab terkemuka di England.

Dia bagaimanapun gagal meghadirkan diri ke latihan Khidmat Negara selain tidak mempunyai permit keluar yang sah.

Sebelum ini, perdebatan tercetus apabila Singapura enggan membenarkan Davis untuk menangguhkan khidmatnya di Singapura sehingga ramai pihak yang menganggap negara itu menyekat impian golongan belia untuk mengejar cita-cita mereka.

“Benjamin Davis gagal melapor diri dalam Latihan Khidmat Negara. Dia juga tinggal di luar negara tanpa Permit Keluar yang sah,” kata Menteri Pertahanan dalam suatu kenyataan.

Tegasnya, penangguhan atau pengecualian hanya diberikan kepada Atlet Olimpik yang banyak mencipta kemenangan misalnya perenang Joseph Schooling dan bukannya kepada pemain bola sepak.

Dalam perkembangan sama, Persatuan Bola Sepak Singapura turut menyifatkan Davis mungkir janji dan gagal berbakti buat negaranya.

“Ia sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan mungkir janji terhadap jaminan kepada FAS bahawa Davis boleh memberi komitmen untuk latihan Khidmat Negara dan bermain untuk skuad kebangsaan.”

Difahamkan, jika tertuduh disabitkan kesalahan, dia boleh didenda sehingga S $10,000 dan/atau dipenjarakan sehingga tiga tahun.

Foto: Yahoo