Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Cyberlynx International College (CIC) hari ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertujuan meningkatkan peluang kepada pemain bola sepak profesional untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
PFAM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Izham Ismail manakala Ketua Pegawai Eksekutif Cyberlynx International College , Dato’ Dr PB Ashok menandatangani bagi pihak Cyberlynx International College. Upacara tandatangan disaksikan oleh Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya dan  Naib Presiden Eksekutif CIC, Ms. Evelyn Poon.
MoU ini diwujudkan sebagai simbolik komitmen dan kerjasama antara pihak PFAM dan Cyberlynx International College dalam pelbagai aspek terutamanya aspek yang berkaitan dengan pendidikan dan pembangunan karier pemain.
Perjanjian itu akan menjadi satu platform bagi ahli PFAM yang ingin menyambung pengajian dalam Diploma Pengajian Bola Sepak dan dalam pada masa yang sama dapat membantu  pembangunan karier pemain lantas sekaligus mentrasformasikan bolasepak Malaysia.
Pihak Cyberlynx International College akan menyediakan kemudahan yang terbaik berdasarkan keperluan dan kesesuaian terutamanya ahli PFAM yang masih bermain dalam saingan bola sepak kompetitif. Hal ini pastinya memudahkan lagi pemain untuk fokus pada pengajian walaupun mereka terlibat dengan komitmen pasukan.
Kerjasama ini dapat berjalan dengan lancar dan menjadi pemula ke arah melahirkan lebih ramai pemain bolasepak profesional yang berpendidikan.
Sebagai rekod, antara pelajar yang sedang dan telah mengikuti program ini ialah Shahril Arsat dan Dollah Salleh.