Pusingan pertama tenis Malaysia Open Kuala Lumpur 2012 menyaksikan beberapa pemain utama dunia terpaksa berhempas pulas sebelum melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Pilihan kelima, Feliciano Lopez dari Sepanyol dipaksa bekerja keras selama 1 jam 40 minit oleh pemain Slovakia, Lukas Lacko sebelum menang 6-3, 7-6 di Center Court, Stadium Putra Bukit Jalil.

“Perlawanan bermula kurang baik kerana saya terpaksa mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Namun kemudiannya ianya berjalan dengan sempurna dan saya mampu beraksi dengan cemerlang. Lacko juga begitu. Beliau bermain baik terutamanya pada set kedua” jelas Lopez yang menyambut hari jadinya yang ke-31 pada Khamis lepas.

Nikolay Davydenko berhempas pulas untuk menewaskan Sanam Singh

 

Juara 2009, Nikolay Davydenko dari Rusia juga menghadapi situasi sama seperti Lopez. Davydenko yang kini menghuni ranking ke-48 dunia ini mengambil masa 1 jam 43 minit untuk menang 7-5,6-4  keatas lawannya dari India, Sanam Singh yang menduduki tangga ke-373 dunia.

“Gelanggang disini sedikit perlahan dan perlukan masa untuk menyesuaikannya. Hari ini saya banyak melakukan kesilapan dan saya tidak tahu kenapa ianya berlaku” Davydenko yang jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaan terhadap aksi buruknya.

Keputusan lain menyaksikan pemain Kanada, Vasek Pospisil berjaya melayakkan diri kali pertama ke pusingan kedua jelajah ATP selepas menumpaskan Micheal Yani dari USA 6-3,7-5 sementara Alex Bogomolov dari Rusia pula mengesahkan tempat kepusingan kedua untuk bertemu pilihan utama, David Ferrer selepas menang 7-5, 6-3 terhadap Dominic Inglot dari Great Britain.

Pusingan ke-2 pada Khamis bakal menyaksikan tiga pilihan utama turun beraksi iaitu David Ferrer, Juan Monaco serta Kei Nishikori dengan aksi bermula pada jam 1 petang.

Sementara itu dalam acara beregu, satu-satunya wakil Malaysia iaitu Assri Merzuki dan Syed Moha Agil terpaksa mengakui kehebatan lawan mereka dari Poland, Marius Frysternberg dan Matcin Matkowski yang juga juara edisi 2009.

Pasangan muda negara yang mendapat tiket wildcard ini tewas 1-6 di set pertama sebelum beraksi dengan lebih baik di set kedua untuk menggembirakan penyokong tempatan. Namun pasangan Poland yang juga pilihan utama kejohanan ini ternyata bukan tandingan mereka dengan mengesahkan kemenangan 6-3 di set kedua.

Frystenberg – Matkowski akan bertemu pasangan Kanadda-India iaitu Vasek Posposil dan Sanam Singh dalam aksi suku akhir pada Khamis.