Setiap pemandu Formula 1 mempunyai pengalaman yang tersendiri dengan Litar Sepang yang bakal menganjurkan perlumbaan terakhirnya hujung minggu ini.

Bagi pelumba Scuderia Toro Rosso, Carlos Sainz, dia sempat merasai perlumbaan di Sepang sebanyak dua musim dan mengakui akan merindui litar yang penuh mencabar itu.

“Reka bentuk Sepang sangat unik dimana terdapatnya dua laluan lurus dan beberapa selekoh yang sangat menguji pemandu. Satu lagi perkara yang tidak akan ada di litar-litar adalah cuaca yang tidak menentu.

“Saya bukannya jenis pemandu yang begitu mengambil berat terhadap ramalan kaji cuaca tetapi hanya ada satu perlumbaan sahaja saya akan begitu fokus dan peduli tentang keadaan cuaca iaitu Sepang.

Jelas Sainz, dia akan merindui perlumbaan disini yang sentiasa mendapat sokongan hangat peminat permotoran Malaysia.

“Satu sahaja yang saya tidak akan rindui – bahang dan kepanasan di Litar Sepang. Memang benar-benar menguji pelumba” kata Sains.

Berbeza pula dengan Pierre Gasly. Pemandu muda kelahiran Perancis ini menggantikan Daniil Kyvat untuk baki perlumbaan musim ini. Dia akan membuat debut karier Formula 1 di Sepang nanti.

“Pastinya satu perasaan yang berlainan buat saya kerana ia akan menjadi perlumbaan pertama dan terakhir saya di Sepang.

“Saya tidak begitu berpeluang untuk menerokai Sepang dan Malaysia. Harapnya saya akan berkesempatan ke sini satu hari nanti” kata pemandu berusia 23 tahun ini.

Kedua-dua pelumba ini hadir dalam satu acara di Putrajaya semalam bersempena dengan perkongsian maklumat oleh Acronis – sebuah perisian perlindungan data untuk semua sistem operasi komputer.

Acronis turut digunakan oleh pasukan Toro Rosso dalam mempersiapkan jentera mereka setiap kali perlumbaan dan latihan.

“Pengurusan data adalah sangat penting dalam perlumbaan F1. Data-data ini sangat sensitif untuk setiap pasukan. Menerusi analisis data-data yang terkumpul, ia dapat memacu pasukan meraih kejayaan” kata Raffaele Boschetti, Ketua Teknologi dan Maklumat Toro Rosso.

Dalam majlis tersebut, Sainz dan Gasly telah menunjukkan bakat seni mereka dengan melukis litar Sepang. Pelukis terpantas Malaysia, Haze Long turut sama menunjukkan aksinya dengan melukis potret kedua-dua pelumba tersebut.