Dua orang pelumba muda Terengganu terpilih untuk menyertai kem pelapis negara yang akan diadakan di Ipoh dari 22 hingga 28 November ini. Sekiranya Ahmad Najib Ismail dan Mohd Shahrir Azman berjaya memberi persembahan yang meyakinkan mereka bakal menjadi sebahagian dari skuad pelapis negara.

Kemajuan yang ditunjukkan oleh kedua-dua pelumba berusia 15 tahun ini membanggakan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) walaupun mereka baru sembilan bulan bergiat secara aktif dalam sukan ini. Pemilihan mereka berdasarkan kepada persembahan ketika bertanding dalam kejohanan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurut seorang jurulatih PLBT, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan pendedahan yang berterusan melalui beberapa kejohanan lain seperti Sports Excel turut membantu Ahmad Najib dan Mohd Shahrir untuk mengembangkan bakat mereka dengan lebih pantas.

Kejayaan mereka diharapkan akan menjadi pembakar semangat kepada pelumba-pelumba muda yang lain untuk merealisasikan potensi diri mereka supaya dapat diketengahkan ke peringkat tempatan dan juga antarabangsa.

Kini PLBT mempunyai sekurang-kurangnya 60 pelumba muda yang berusia di bawah 14 tahun di dalam program pembangunan atlet mereka dan diharapkan ianya mampu untuk melahirkan jaguh-jaguh sukan berbasikal negara seperti Mohd Azizulhasni Awang, Nur Fateha Mustapa, Anuar Manan dan Mohd Hariff Salleh.